SOAL JAWAB LAZIM PRAKTIS SENIBINA [1] – YURAN/FEE PROFESIONAL

Mengapa seseorang Arkitek Profesional tidak boleh bersetuju dengan mana-mana Klien yang mahukannya mengenakan jumlah fee yang murah [diskaun] dan apakah yang dia perlu jelaskan pada Klien bahawa memberikan diskaun pada fee atau mengenakan fee yang rendah dari yang telah ditetapkan oleh LAM [yang perlu dikenakan oleh seseorang Arkitek itu], satu perlakuan yang menyalahi Akta Arkitek 1967? 

JAWAPAN: 

Seseorang Klien perlu difahamkan bahawa seseorang Arkitek itu dalam melaksanakan tanggungjawabnya, adalah terikat dengan dan dikawal oleh: 

§         Akta Arkitek 1967 [ yang diluluskan oleh Parlimen ], 

§         Peraturan profesionalnya iaitu Kaedah-Kaedah Arkitek 1996 [Architects Rule 1996] yang kandungannya di dalam Jadual 2 memperihalkan Kod Tata Kelakuan Profesional bagi Arkitek; dan 

§          Kaedah-Kaedah [Skel Fee Minimum] Arkitek 1986.  

Klien perlu diberitahu, bahawa Akta Arkitek 1967 Pindaan April 2007 [Architect Acts 1967], telah memberikan kuasa [Fasal 35] kepada Lembaga Arkitek Malaysia [LAM] untuk menetapkan beberapa peraturan-peraturan berikut: 

1.      Kaedah-Kaedah Arkitek 1996 [Architects Rule 1996] yang isi kandungannya meliputi: 

 Bahagian 1, Jadual Kedua – Kod Tata Kelakuan Profesional [Code of Professional Conduct]; dan       

 Bahagian 1, Jadual Ketiga – Syarat-Syarat Pertugasan Arkitek [Conditions of Engagement of an Architect]. 

2.   Kaedah-Kaedah [Skel Fee Minimum] Arkitek 1986  [Architects (Scale of Minimum Fees] Rules 1986  

Kuasa telah diberikan kepada LAM dalam kedua-dua kaedah atau peraturan yang diperuntukan di atas untuk menentukan Fee Minima [Minimum Fees] yang menetapkan Arkitek tidak boleh mengenakan bayaran rendah dari yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, sepertimana yang telah disyaratkan di dalam Kaedah 29(1) [Syarat-Syarat Pertugasan Arkitek], Kaedah-Kaedah Arkitek 1996 [Architect Rules 1996]: 

Kaedah 29(1) – ‘Kecuali dengan kelulusan Lembaga yang diberi terlebih dahulu atas sebab khas, seseorang Arkitek hanya boleh menandatangani suatu perjanjian yang melibatkan pekhidmatan profesionalnya mengikut kaedah-Kaedah [Skel Fee Minimum] Arkitek 1986, Syarat-Syarat Pertugasan Arkitek [Conditions of Engagement of an Architect] dalam Bahagian 1 Jadual Ketiga dan Memorandum Perjanjian dalam Jadual Keempat’.     

Arkitek dilarang mengenakan bayaran kurang dari yang ditetapkan oleh Kaedah-Kaedah [Skel Fee Minimum] Arkitek 1986. Arkitek boleh didakwa di mahkamah jika ia didapati melanggar akta dan kaedah-kaedah Arkitek sepertimana diperihal dan ditetapkan di dalam Kaedah-Kaedah Arkitek 1996 iaitu Kaedah 28 [1] [Bahagian 1 Jadual Kedua] yang juga menggariskan Kod Tata Kelakuan Profesional Bagi Arkitek, di bawah kod-kod berikut: 

Kod 3: Melaksanakan Tugas dan Kewajipan Dengan Taat Setia (Code 3:Faithful Discharge of Duties and Obligations)

Iaitu Kod 3[6]:

‘A Professional Architect shall prior to commencing architectural consultancy services, notify the client in writing of the conditions of engagement and the scale of professional fees and charges, including the method of calculating the fees, in respect of the following:[a] scope of works;[b] allocation of responsibilities;[c] limitation of responsibilities, if any, and[d] termination of architectural consultancy services,And shall, within sixty days from the date the notification is duly served on the client, obtain the client’s agreement in writing regarding the conditions of engagement and the scale of professional fees and charges’.  

Yang bermaksud

Seseorang Arkitek hendaklah sebelum menyetujuterima perlantikannya atau sebelum bersetuju menyediakan khidmat konsultansinya, memberitahu bakal Kliennya secara bertulis tentang Syarat-Syarat Pertugasan Arkitek [Jadual Ketiga Kaedah-Kaedah Arkitek] dan skel fee profesional serta caj yang sesuai yang akan dikenakan (sepertimana yang telah ditetapkan oleh Kaedah-Kaedah [Skel Fee Minimum] Arkitek 1986), termasuk cara-cara pengiraan fees berkenaan yang perlu melibatkan perkara-perkara berikut:[1] skop-skop kerja,[2] ketetapan tanggungjawab,[3] had-had tanggungjawab, jika ada, dan[d] prosedur penamatan khidmat konsultansi,Dan hendaklah, dalam tempoh enam puloh hari dari tarikh notis pengesahan/ persetujuan perlantikan diberikan kepada Klien, mendapatkan persetujuan tentang Syarat-Syarat Pertugasan Arkitek [Jadual Ketiga Kaedah-Kaedah Arkitek] dan skel fee profesional serta caj yang sesuai yang akan dikenakan.  

Kod 4 : Integriti Profesional (Code 4 : Professional Integrity) 

Kod 4[13]:

‘A Professional Architect shall not accept any discount, gift, commission or any form of inducement from contractors, tradesmen or suppliers in connection with the works and duties entrusted to him and shall not permit his employees to receive such discount, gift, commission or inducement’. 

Yang bermaksud

Seseorang Arkitek tidak boleh menyetujuterima apa-apa diskaun, hadiah, komisyen atau apa-apa bentuk dorongan daripada kontraktor, penghantar atau pembekal yang berkaitan dengan kerja dan tugas yang diamanahkan kepadanya dan hendaklah tidak membenarkan kakitangannya menerima diskaun, hadiah, komisyen atau dorongan sedemikian. 

Nota tambahan:

Arkitek dibenar mengenakan fee yang minima yang ditetapkan oleh Kaedah-Kaedah [Skel Fee Minimum] Arkitek 1986, tetapi Arkitek perlu juga mengambilkira skop kerja yang akan dilaksanakan. Jika memerlukan kepakaran yang tinggi serta strategi perlaksanaan dan kerja-kerja penyeliaan yang rumit, ia perlu bijaksana merundingkan caj yang bersesuaian supaya tidak menjejaskan kualiti perkhidmatan yang akan diberikan. Kualiti perkhidmatan mungkin terjejas jika yuran yang dibayar terlalu rendah.           

Advertisements

STATUS PROFESION ARKITEK, PENGARUH, PERSAINGAN DAN CABARANNYA MASAKINI

Status profesion Arkitek pada asasnya amat bergantung atau terikat dengan perkembangan dan status industri pembinaan bangunan dan industri infrastruktur pembangunan alam bina amnya. 

Perkembangan ekonomi mempengaruhi status profesion Arkitek dalam keadaan seumpama berikut:   

§        Taraf atau pencapaian ekonomi yang lembab [recession] seperti apa yang berlaku dalam tahun 1985 hingga 1989 sebagai contohnya, telah menyebabkan ramai Arkitek Profrsional tidak mampu mengendalikan perniagaan praktis senibina mereka kerana tiada komisyen kerja yang diperolehi – ramai Arkitek Profesional berdepan dengan masalah sehingga ke tahap yang boleh menyebabkan mereka diikhtirafkan sebagai muflis. Pemberhentian kakitangan yang digajikan seperti Siswazah Arkitek dan kakitangan teknikal seperti Pelukis Pelan tidak dapat dielakkan. Sehingga, ada sesetengah Arkitek Profesional terpaksa beralih arah dengan mendapatkan peluang pekerjaan di luar negara. 

§        Dalam keadaan status ekonomi memuncak pula menyebabkan Arkitek mendapat komisyen kerja yang banyak dan lumayan. Ada kes-kes tertentu walaupun agak asing, Arkitek Profesional tanpa disedari menjadi terlalu sibuk sehingga cuai memastikan perkhidmatan yang baik diberikan kepada Pelanggan atau Majikannya. Perlu diingat, Arkitek-Arkitek [Arkitek Profesional dan Siswazah Arkitek] adalah tertakluk kepada pelbagai peruntukan Akta Arkitek 1967, yang menggubal kaedah dan peraturan khusus untuk mengawal perlakuan profesional mereka. Atas sebab perkhidmatan yang buruk yang diberikan kepada Majikannya, Arkitek terdedah dengan potensi melanggar ketetapan Kod Tata Kelakuan Profesional yang membolehkan mereka didakwa dan diambiltindakan sewajarnya oleh LAM.  

Pencapaian status ekonomi yang cemerlang boleh juga membuka peluang kepada Arkitek Asing untuk memasuki pasaran tempatan. Arkitek Tempatan akan tercabar jika tidak berupaya bersaing dengan mutu perkhidmatan yang diberikan oleh Arkitek Asing. Masalah dengan Arkitek Asing ialah mereka tidak terikat dengan peruntukan peraturan yang ada di Malaysia. Mereka seringkali menggunakan khidmat Arkitek Tempatan, yang telah dimestikan mematuhi kehendak-kehendak Kod Tata Kelakuan Profesional Arkitek di Malaysia, yang mana jika tersilap perkiraan dalam melaksanakan khidmat mereka kepada Arkitek Asing tersebut, mereka [Arkitek Profesional tempatan] akan terjebak memungkiri peruntukan Akta Arkitek 1967 berkenaan. 

Cabaran lain seperti penglibatan ahli profesional lain dalam skop kerja tradisi Arkitek. Contohnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini ahli profesional seperti Juruukur Bahan, Jurutera dan Pengurus Projek sudah mula mengambil alih skop kerja Arkitek sebagai pengurus projek. Kadang kala dalam konteks atau permasalahan seumpama ini, pendapat sesetengah pihak yang mengatakan Arkitek sendiri boleh dipersalahkan kerana sudah tidak lagi pakar memberikan khidmat profesionalnya, sebagai boleh diterima dan ditelan dengan pahitnya. Puncanya, Arkitek tidak sepatutnya melepaskan tanggungjawabnya sebagai orang yang bertanggungjawab memastikan setiap aspek pentadbiran dan pengurusan perlaksanaan satu-satu projek dilakukan oleh ahli profesional lain seperti menyerahkan sepenuhnya kepada Juruukur Bahan untuk menyediakan Spesifikasi, Dokumen Tawaran dan Dokumen Kontrak, sedangkan dia adalah orang yang berhak menentukan spesifikasi yang terbaik untuk penyataan bagaimana bangunan rekabentuknya perlu diperihalkan dan bagaimana satu-satu perjalanan kontrak binaan rekabentuknya perlu ditadbir. 

Kehadiran Juruperunding Pengurusan Projek [Project Manager] mutakhir ini, yang pendaftaran mereka direstui Kementerian Kewangan, juga secara langsung telah berjaya mengambil alih [supplanting] tugas Arkitek sebagai ketua kepada tim binaan [construction team] bilamana Arkitek hanya dilantik sebagai perunding kepada syarikat pengurus projek berkenaan yang majoriti pemegang saham atau pemilik syernya adalah dari kalangan ahli-ahli profesional lain dan yang paling anihnya ialah apabila individu bukan ahli profesional yang terlalu asing kepentingannya dalam industri pembinaan, seperti Akauntan dan Ahli Ekonomi juga dibolehkan menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah Juruperunding Pengurusan Projek. 

Terakhir sekali adalah cabaran dari kalangan profesion Arkitek itu sendiri bilamana adanya individu Arkitek yang bersikap tidak ambil peduli kepada peruntukan undang-undang berkaitan dengan profesion Arkitek dan tidak menghormati prinsip dan konsep sebenar keprofesionalan profesion Arkitek. Sebagai contoh, keujudan Arkitek Profesional [walaupun hanya segelintir kecil sahaja] yang mencari jalan mudah mendapatkan komisyen kepada penyediaan perkhidmatan dan tanggungjawab profesionalnya hanya dengan menjual tandatangannya kepada pihak ketiga, yang menyediakan skim rekabentuk dan lukisan binaan tanpa pengawasannya sebagai Arkitek yang sepatutnya dipertanggungjawabkan. Perlu dingat bahawa perlakuan ini melanggar ketetapan Akta Arkitek 1967 sepertimana ditegaskan di bawah Kod 3, Kod Tata Kelakuan Profesional Bagi Arkitek, iaitu Kod 3[8] yang berbunyi:  

Kod 3

Melaksanakan Tugas dan Kewajipan Dengan Taat Setia.Faithful Discharge of Duties and Obligations                

Kod 3(8):

A Professional Architect shall not certify, affix or put his signature to drawings, plans or specifications which are not prepared by him, his employees or persons under his supervision for the purpose of obtaining the approval from the relevant Authority. 

Yang Bermaksud: 

Seseorang Arkitek tidak boleh memperakukan, menandatangani atau menurunkan tandatangan kepada lukisan pelan atau spesifikasi yang bukan disediakan olehnya atau oleh kakitangan di bawah pengawasannya untuk tujuan mendapatkan kelulusan dari sebarang pihak berkuasa berkanun”.      

Aktiviti Pekerjaan Seorang Arkitek

Apabila seseorang individu itu telah layak bergelar samada sebagai seorang Siswazah Arkitek atau seorang Arkitek Profesional, terdapat berbagai peluang pekerjaan yang boleh dilakukan sepertimana berikut:

[pelbagai sektor di mana Arkitek boleh mendapatkan pekerjaannya]            

[1] Sektor Awam:                       

·        Di jabatan-jabatan kerajaan seperti JKR, mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan [PBT], mana-mana Agensi Pembangunan Tanah Kerajaan Negeri dan lain-lain. 

·        Sebagai kakitangan tenaga pengajar mana-mana pusat pengajian tinggi awam yang menyediakan kursus khusus untuk pengajian senibina. 

·        Di agensi-agensi korporat kerajaan yang masih di bawah pentadbiran kerajaan contoh: Tenaga Nasional Berhad [TNB], Indah Water Konsortium [IWK] – di Jabatan Arkitek atau Perancang di sesetengah Pihak Berkuasa Tempatan.       

[2] Sektor Swasta: 

·        Bekerja sendiri menjalankan praktis perseorangan. 

·        Sebagai salah seorang rakan kongsi dalam praktis perkongsian. 

·        Sebagai salah seorang Pengarah dalam badan berkanun yang memberikan perkhidmatan praktis senibina. 

·        Sebagai tenaga pengajar di institut pengajian tinggi swasta. 

·        Bekerja di institusi kewangan. 

Siswazah Arkitek Bergaji dan Arkitek Profesional Bergaji  

Siswazah Arkitek Bergaji dan Arkitek Profesional Bergaji biasanya adalah individu Siwazah Arkitek atau Arkitek Profesional yang bukan rakan kongsi mana-mana firma Arkitektur atau pengarah mana-mana badan korporat yang memberikan perkhidmatan senibina/arkitektur. Mereka-mereka ini tidak memberikan perkhidmatan sebagai juruperunding senibina profesional. Perkhidmatan mereka hanya diberikan kepada majikan mereka sahaja dan mereka di bayar upah dalam bentuk gaji.  

Arkitek Profesional yang menjalankan khidmat rundingan senibina memberikan khidmat profesionalnya kepada mana-mana pihak klien atau majikan yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan dengan senibina dan mereka perlu dibayar yuran yang jumlah dan bentuknya telah ditentukan oleh Skel Fee Minima sepertimana yang telah ditetapkan oleh Kaedah-Kaedah [Skel Fee Minima] Arkitek 1996. 

Walaubagaimanapun sesetengah strategi perniagaan dalam menangani masalah pembayaran cukai pendapatan, sesetengah rakan kongsi atau pengarah firma Arkitek terdiri dari Arkitek Profesional yang yang juga dibayar gajinya. Namun, untuk kepastian dalam konteks ini sila semak Surat Pekeliling Am LAM Bil. 4/1987 yang memberi panduan kepada perlakuan Arkitek bergaji atau untuk mereka yang bekerja makan gaji.                             

PERANAN ARKITEK

Secara tradisionalnya peranan Arkitek adalah sepertimana peranan yang dipertanggungjawabkan kepada semua profesional yang lain. 

Peranan seorang Arkitek Profesional adalah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Pelanggan/Kliennya untuk merealisasikan bangunan idaman mereka. Arkitek bertanggungjawab menyediakan rekabentuk bangunan yang memenuhi kehendak pemiliknya, penghuninya atau majikannya [Klien].  

Seorang Arkitek Profesional beperanan memelihara kesetabilan susunan struktur masyarakat agar terpelihara dari sebarang unsur ketidakadilan dan penganiyaan. Sebagai contoh apabila seorang Arkitek dilantik untuk memberikan perkhidmatannya untuk satu projek pembangunan perumahan, dia perlulah bertingkahlaku dan bertindak secara profesional dengan tidak memihak kepada mereka yang melakukan kesalahan atau kemungkiran terhadap orang ketiga seperti pembeli rumah atau masyarakat am lain yang berurusan dan terlibat dalam projek tersebut.   

Arkitek bertanggungjawab memastikan peranan yang dimainkannya adalah mengikut perkembangan kehendak dan permintaan masyarakat yang sentiasa selari dengan perubahan masa serta perlu bertindak dengan sewajarnya terhadap kehendak dan permintaan masyarakat tersebut secara profesional.  

Untuk memahami dengan lebih mudah tentang peranan seorang Arkitek Profesional, huraian boleh dibuat mengikut pecahan beberapa aspek berikut: 

i.                    Aspek Tanggungjawab,  

ii.                  Aspek Imej; dan 

iii.                Aspek Kredibiliti dan Kemampuan, 

yang perlu dimiliki dan dipertanggungjawabkan oleh masyarakat kepadanya.      

TANGGUNGJAWAB ARKITEK

Sebagai seorang profesional secara tradisionalnya, Arkitek hendaklah:     

1.     Melaksanakan dan membuat penilaian dengan cekap setelah melakukan analisa yang rapi sebelum satu keputusan yang bijak dan muktamad dibuat, 

2.     Berpengetahuan dalam bidang pengurusan serta berkemampuan mengendalikan praktis senibina yang bersistematik dan berdayamaju dan baik dalam ‘public relation’ [PR], 

3.     Berkemampuan dalam semua hal yang bersangkutan dengan aspek alam semulajadi, kemasyarakatan dan undang-undang yang relevan, 

4.     Sentiasa melengkapi diri dengan kepakaran teknikal dan pelbagai kepakaran lain yang relevan, untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam bidang kesenibinaan khususnya dalam bidang rekabentuk dan teknik binaan. Kepakaran yang dimaksudkan boleh dijelaskan sepertimana berikut: 

Berwibawa menasihatkan Klien/Pemilik Bangunan tentang kesesuaian sesuatu cadangan rekabentuk agar ianya menepati fungsi, teknik pembinaan dan kos diperlukan, 

Bijak menentukan secara am susunan rekabentuk dan pembina

Terlatih untuk menyediakan Lukisan Kerja supaya bangunan mudah diterjemahkan oleh kontraktor bangunan di tapak yang dicadangkan; dan 

Bersedia memberikan khidmat nasihat kepada Klien/Pemilik Bangunan tentang keperluan perancangan mengikut keperluan perundangan seperti Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, ‘Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984’ [Uniform Building By Laws 1984 – UBBL] dan pelbagai keperluan lain yang relevan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan atau Agensi Teknikal Tempatan di kawasan dimana bangunan tersebut dicadang untuk dibina.  

5. Untuk hal-hal berkaitan pengurusan kontrak binaan, Arkitek sebagai juruperunding kepada Pelanggan/Klien sebagai Majikan [Borang Kontrak Seragam PAM atau apa sahaja borang kontrak seragam yang lazim digunakan, yang walaupun hanya mengikat di antara Kontraktor dan Majikan], Arkitek adalah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir perjalanan pengurusan kontrak tersebut yang mana seorang Arkitek:  

(a)  Perlu melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh teliti, tekun dan bijaksana serta secara profesional sepertimana yang telah digariskan oleh terma pertugasan [Syarat-Syarat Pertugasan Arkitek] dan syarat ikatan perjanjian perlantikannya [MoA] yang telah dimeterikan, 

(b) Adalah seorang penimbangtara [arbiter or quasi-arbitrator] yang adil. Ia mestilah membuat satu keputusan yang tidak berat sebelah apabila mentadbir pelbagai hal yang berkaitan dengan ikatan kontrak di antara Pelanggan/Klien dan Kontraktor serta siapa sahaja pihak ketiga yang ada terlibat di dalam kontrak tersebut dimana beliau juga adalah Pegawai Penguasa [SO]. 

(c)  Pakar mengendalikan kerja-kerja di tapak secara profesional mengikut kehendak terma kontrak di antara Pelanggan/Klien dan kontraktor yang telah dimeterikan kerana selain sebagai Pegawai Penguasa [SO], Arkitek juga adalah seorang pengurus projek. Apabila dilantik sebagai pengurus projek beberapa perkara di bawah adalah dipertanggungjawabkan dan mesti diambil perhatian sepenuhnya: 

Sistem pengurusan yang efisyen dan penjadualan masa yang betul; 

Kefahaman yang tepat dan sensitif dengan persekitaran untuk menghasilkan idea rekabentuk yang baik; 

Memerlukan pengetahuan yang mendalam mengenai undang-undang dan piawaian yang berkaitan dengan bangunan atau pembangunan amnya;    

Menyediakan butiran piawaian (standard) bagi memudahkan perlaksanaan projek; dan 

 Rujukan lengkap perlu dibuat samada dengan mendapatkan sumbernya dari orang perseorangan, bahan bacaan, jabatan atau agensi yang berkaitan.  

6. Profesion Arkitek adalah juga dipertanggungjawabkan dengan pelbagai tanggungjawab dari segi perundangan sepertimana di bawah: 

§        Akta Arkitek 1967 [Architect Acts 1967] yang menetapkan Kod Tata Kelakuan Profesionalnya [Professional Code of Ethics] dan Skel Fee Minimum [Minimum Scale of Fees] – Memorandum Perjanjian [Memorandum of Agreement] di antara Pelanggan/Klien/Majikan dengan Arkitek yang disyaratkan oleh LAM dalam perjanjian perlantikan perkhidmatan Arkitek jelas menyenaraikan tanggungjawab Arkitek kepada Majikan/Pelanggan/Kliennya tersebut. 

§        Sebagai orang yang memohon kelulusan pelan bangunan di bawah kawalan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 [Principal Submitting Person under UBBL 1984], dan mutakhir ini pula Arkitek Profesional dipertanggungjawabkan mengeluarkan CCC.

§        Sebagai orang yang membuat perakuan kepada Perakuan Kesiapan Kerja di bawah Akta Pemajuan Perumahan [Housing development Act] – kandungan Perjanjian Jual dan Beli [Sales and Purchase Agreement – S&P] di antara Pembeli dan Pemaju di dalam Klausa tertentu yang memperihalkan dan menggariskan tanggungjawab Arkitek sebagai orang yang bertanggungjawab memastikan Pembeli memperolehi haknya.    

§        Seorang Arkitek bukan sahaja bertanggungjawab mematuhi undang-undang khusus untuk bangunan tetapi undang-undang am lain juga. 

IMEJ SEORANG ARKITEK

Imej seseorang Arkitek adalah bergantung kepada perlakuan [performance] dan keprofesionalanya [professionalism] yang ditentukan oleh: 

§        Kecekapannya [competency], 

§        Kejujurannya [integrity]; dan 

§        Tanggungjawabnya [responsibility]. 

Sebarang kesilapan dan kegagalan seseorang Arkitek melaksanakan peranannya dan tanggungjawabnya dengan bijaksana dan cekap, secara jujur dan penuh dedikasi, ia akan merosakkan imejnya sebagai seorang Arkitek yang profesional. 

Untuk menjaga imej yang dikehendaki oleh masyarakat, seseorang Arkitek itu:         

§        Mestilah seorang yang berdidikasi melaksanakan tugas profesionalnya sepertimana kepiawaian [standard] yang diharapkan darinya sebagai seorang Arkitek. 

§        Cekap perlakuannya. Dia perlu cekap melaksanakan tugas profesional yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya 

§        Perlu jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawabnya: 

o       Sebagai contoh ketika membuat perakuan kesiapan kerja di dalam ‘progress payment, 

o       Ketika menyediakan ‘Perakuan Kesiapan Kerja’ di bawah Akta Pemajuan Perumahan [Housing Development Act]; dan 

o       Bersungguh melaksanakan komitmennya [commitment]. 

KREDIBILITI ATAU KEMAMPUAN ARKITEK PROFESIONAL

Sebagai ketua kepada tim pembinaan [construction team], seorang Arkitek perlulah berkemampuan melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh cekap, berhati-hati dan berhemat [prudence] supaya tidak menyusahkan siapa sahaja pihak ketiga seperti menzalimi satu pihak untuk memberikan keuntungan pada satu pihak yang lain. Arkitek adalah seorang ‘man of wisdom’. Lazimnya Arkitek adalah penasihat, pentadbir dan pembuat keputusan yang bijaksana. Arkitek perlu tegas membuat apa sahaja keputusan dan tidak begitu mudah mengalah kepada sebarang bentuk cabaran. Semuanya hanyalah kerana, apa sahaja bentuk keputusan yang dibuatnya, perlulah berbentuk kebenaran yang berlandaskan undang-undang dan kesaksamaan profesionnya. 

Kredibiliti, keupayaan dan kemampuan ilmu pengetahuan seorang Arkitek mengikut yang telah digariskan oleh piawai antarabangsa sepertimana yang disenaraikan di bawah ini, perlu diperolehi/dikuasai/dimiliki samada dari pengalaman kerja secara praktik dan pengalaman yang didapati melalui latihan intensif ketika berkursus dimana sahaja pusat pengajian tinggi atau melalui pengalaman melaksanakan apa sahaja kerja berkaitan kesenibinaan di firma yang menjalankan praktis senibina: 

  •  
    • Mempunyai dayacipta yang tinggi dan kreatif dalam merekabentuk dan merancang sesuatu binaan bangunan yang menepati kehendak astetik dan teknikal dan mampu bertahan kepada pengaruh alam semulajadi dan pelbagai pengaruh lain yang ada kaitan dengan binaan bangunan; 
    • Mempunyai pengetahuan yang mencukupi dan mampu memahami asal usul sejarah dan teori senibina dan pelbagai seni dan teknologi berkaitan dengannya serta sains kemanusiaan; 
    • Mempunyai pengetahuan tentang ilmu senihalus kerana pengaruhnya yang kuat terhadap kualiti rekabentuk senibina.     
    • Mempunyai pengetahuan yang baik tentang rekabentuk dan perancangan urbanisma dan mempunyai keupayaan dalam mezahirkan pelbagai skema rekabentuk yang baik dalam proses perancangan; 
    • Memahami pertalian di antara manusia dan bangunan serta antara bangunan dan pengaruhnya kepada alam semulajadi dan memahami keperluan untuk merealisasikan alam bina yang bersuasana selesa untuk keperluan manusia dan berjaya membina ruang binaan yang berpadan dengan skala manusia;     
    • Mempunyai pengetahuan tentang kaedah terbaik untuk menyediakan rekabentuk bangunan dan perancangan ruang gunaan yang bersesuaian dan boleh bertahan lama oleh pengaruh alam semulajadi;     
    • Memahami dengan sebenarnya keunikan profesion Arkitek jika dibandingkan dengan profesion lain dan memahami peranan Arkitek kepada masyarakat terutama dalam mengambilkira kehendak serta faktor sosial dan kemanusiaan dalam penyediaan ‘ringkasan’ [brief] rekabentuk dan perancangan bangunan;     
    • Memahami dan melaksanakan kaedah-kaedah yang tepat dalam membuat penyelidikan dan persiapan dalam menyediakan ‘ringkasan’ [brief] skema rekabentuk sesuatu projek.     
    • Memahami asas dan konsep struktur binaan dan struktur kejuruteraan sesuatu skema rekabentuk dan mempunyai kepakaran dalam mengenalpasti potensi permasalahan yang akan timbul akibat pengaruh dari struktur yang gagal berfungsi sepatutnya;  Mempunyai pengetahuan tentang masalah fisikal, keberkesanan dan fungsi teknologi sesuatu rekabentuk bangunan terutama yang berkaitan dengan kemampuan rekabentuk tersebut dalam memenuhi kehendak yang diperlukan untuk keselesaan penghuninya terutama dalam fungsinya memberikan perlindungan dari iklim dimana ianya dibina; 
    • Keperluan memiliki kepakaran yang khusus untuk menentukan rekabentuk yang dizahirkan memenuhi kehendak pengguna atau penghuninya dalam batas kos yang termampu dan dalam batas yang ditentukan oleh kehendak undang-undang bangunan berkaitan; 
    • Mempunyai pengetahuan tentang industri, organisasi, peraturan atau undang-undang dan tatacara yang diperakukan dan diterimapakai dalam menterjemahkan konsep rekabentuk bangunan supaya menepati kehendak dan konsep perdana perancangan yang telah digazetkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan atau badan atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab ke atasnya; dan  
    • Mempunyai pengetahuan yang mencukupi serta bijak menguruskannya berkaitan strateji pembiayaan dan mengawal kos pembangunanya.            

LAM dan PAM

Badan Pengawal Profesion Arkitek 

Terdapat dua badan yang mengawalselia profesion Arkitek di Malaysia iaitu Lembaga Arkitek Malaysia (LAM – the Board of Architects Malaysia) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM – the Malaysian Institute of Architects). 

LAM:

§         Adalah satu badan berkanun (a statutory body) yang ditubuhkan tertakluk di bawah peruntukan Seksyen 3[1], Akta Arkitek 1967 (Pindaan April 2007). 

§         Badan ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Menteri (under the jurisdiction of Minister) – Kementerian Kerja Raya.  

§         Satu entiti perundangan bagi profesion Arkitek dan praktis senibina (architectural practice). LAM boleh mendakwa dan didakwa. 

§         Satu Badan yang telah diberikan kuasa oleh Menteri di bawah peruntukan Seksyen 35 Akta Arkitek 1967 [Pindaan April 2007], untuk menggubal peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah untuk mengawalselia profesion Arkitek dan praktis senibina. 

§         Sebagai badan yang bertanggungjwab menguruskan pendaftaran dan pembatalan pendaftaran Siswazah Arkitek, Arkitek Profesional dan Pelukis Pelan Berdaftar.                             

PAM:

§         Adalah satu persatuan profesion Arkitek. PAM menyediakan satu wadah dimana Arkitek boleh berhimpun untuk berpersatuan. 

§         Adalah satu badan sukarela yang ditadbir oleh ahli-ahlinya yang terdiri dari Arkitek. 

§         PAM adalah pusat komunikasi di antara ahli-ahli Arkiteknya. 

§         Ditubuhkan dengan objektif esklusifnya sebagai penggerak semangat dalam usaha memertabatkan bidang senibina, praktis senibina dan profesion Arkitek itu sendiri.   

§         Tertakluk di bawah Akta Persatuan (Societies Act). 

§         PAM mewakili ahlinya dalam memperjuangkan sebarang isu-isu dan polisi-polisi yang berkaitan profesion Arkitek dan praktis senibina amnya terutamanya dalam memastikan ianya seiring dengan aspirasi kerajaan.      

CCC [3]

Bilakah PSP Boleh Keluarkan CCC ?

  1. Apabila semua syarat-syarat teknikal telah dipatuhi,
  2. Apabila Borang G [21komponen utama pembinaan melalui konsep perakuan berperingkat] telah disahkan dan diterima termasuk borang-borang yang tidak berkenaan,
  3. Apabila kesemua perkhidmatan perlu [assential services] telah disediakan; dan
  4. Apabila PSP memberi akuan telah mengawasi pembinaan dan penyiapan bangunan berkenaan.

CCC [2]

CIRI-CIRI CCC

  1. Peluasan sistem CCC sediada bagi banglo berasingan kepada bangunan-bangunan kategori lain.
  2. Orang Utama Yang Mengemukakan [PSP] samada Arkitek Profesional atau Jurutera Profesional atau Pelukis Pelan Berdaftar dibenar keluarkan CCC.
  3. Peningkatan aspek tanggungjawab dan akauntabiliti melalui proses perakuan berperingkat [Semua pihak terlibat dalam projek yang dibina akan mempunyai liabilti, bukan hanya terletak kepada PSP].
  4. Semua pihak bertanggungjawab ke atas komponen pembinaan yang berkaitan dengannya
  5. PBT tetap memiliki kuasa meluluskan Kebenaran Merancang dan Kelulusan Pelan Bangunan.
  6. PBT adalah berkuasa untuk membuat pemeriksaan tapak bila-bila masa atas inisiatif sendiri atau atas aduan.
  7. PBT boleh mengeluarkan notis kepada PSP untuk perbetulkan ketidakpatuhan [non-compliance].
  8. PBT dibenarkan melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang diperlukan jika PSP gagal melaksanakannya dan PBT ada kuasa mendakwa PSP.