Category Archives: panduan praktis

NOTA PRAKTIS SENIBINA YANG BAIK UNTUK RUJUKAN

Nota Praktis Profesional yang baik oleh Ar. Nasharuddin bin Haji Abdul Majid A.P.A.M, ACiARB dari Arkitek Punca Cipta: sila rujuk di:

http://diskusibhg3.blogspot.com/2006/09/cabaran-profesionalisme-kesenibinaan.html

Mintak berkat dari Ar.Nasharuddin untuk link kan blog ini.


SOAL JAWAB LAZIM PRAKTIS SENIBINA [5] – MENGIKLANKAN PERKHIDMATAN PROFESIONAL

Bolehkah Arkitek mengiklankan perkhidmatan profesionalnya? 

JAWAPAN

Mengikut ketetapan Kod 4 (7) Kod Tata Kelakuan Profesional Arkitek di bawah Kod 4 – Integriti Profesional, seseorang Arkitek dibenarkan mengiklankan perkhidmatan profesionalnya dalam apa sahaja bentuk dengan syarat pengiklanan yang dibuat tersebut menepati garispanduan-garispanduan yang dikeluarkan oleh Lembaga Arkitek Malaysia.  

4(7)     Seseorang Arkitek boleh mengiklankan perkhidmatan profesionalnya melalui mana-mana cara iklan awam, dengan syarat pengiklanan yang dibuat tersebut menepati atau mengikut garispanduan atau pekeliling yang dikeluarkan oleh Lembaga. 

[A Professional Architect may advertise his professional services by any public means, where such advertisement is in accordance with the guidelines or circulars issued by the board]. 

Sepertimana yang dijelaskan oleh Pekeliling Am LAM 3/1997, tujuan Arkitek mengiklankan perkhidmatan profesionalnya secara lazim adalah: 

§         Untuk memaklumkan kepada pihak awam mengenai perkhidmatan profesionalnya [tidak kira samada kos terlibat ditanggung oleh Arkitek sendiri atau sebaliknya]. 

§         Dalam masa yang sama mengumumkan semua maklumat lain yang relevan dengan perkhidmatan profesionalnya. 

§         Satu langkah penting dalam aktiviti pemasaran dan promosi secara langsung atau tidak langsung untuk mempengaruhi minat masyarakat. 

§         Membayangkan kebanggaan Arkitek tersebut terhadap perkhidmatan profesionalnya sementara yang tersirat adalah untuk memberitahu bahawa dia sanggup dan BERSEDIA menerima tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan. 

Maka cara-cara membuat pengiklanan oleh Arkitek yang dibenarkan adalah sebagaimana berikut: 

§         Pengumuman dibuat tentang penglibatan Arkitek dalam risalah-risalah jualan dan dalam apa-apa sahaja dokumen yang dikeluarkan untuk pembeli – yang penting maklumat yang diberikan MESTILAH TEPAT. 

§         Tiada sekatan dikenakan terhadap pendedahan identiti atau profesion Arkitek mahupun saiz atau bentuk iklan TETAPI iklan-iklan tersebut bersesuaian dengan tujuan asalnya. 

§         Penyertaan dalam direktori dan lain-lain percetakan,       Percetakan:                    

o             LAM,

o             PAM,

o             Pertubuhan Arkitek Serantau [ARCASIA],

o             Pertubuhan Arkitek Antarabangsa [UIA],

o             Pertubuhan Arkitek Kommenwel [CAA]; dan

o             Lain-lain journal yang perlu mendapatkan kebenaran LAM. 

§         Tanda pada bangunan – para Arkitek digalakkan membuat tanda pada bangunan yang direkabentuk olehnya. Tanda tersebut hendaklah dilokasi yang sesuai dan dalam suatu bentuk yang akan dapat dipamerkan secara kekal dan mengandungi maklumat penting seperti tahun bangunan itu siap serta No. Pendaftaran Arkitek berkenaan. 

§         Papan tanda bagi pejabat dan projek  Para Arkitek dibenarkan meletak pada bangunan pejabat mereka nama praktis dalam bentuk dan saiz yang berpatutan dan meliputi logo mereka bagi menunjukkan identiti yang dihajati. Papan tanda projek yang memberi maklumat yang diperlukan di bawah mana-mana perundangan boleh didirikan di Tapak Bina dalam suatu saiz dan gaya yang sesuai dan meliputi logo praktis Arkitek itu supaya dapat dilihat oleh orang awam. 

§         Pengumuman dan felicitation – iklan-iklan yang berupa pengumuman atau ‘fecilitation’ dalam akhbar boleh mengandungi nama dan profesion Arkitek serta meliputi logo praktis di mana sesuai. 

§         Iklan serta risalah jualan dan promosi – percetakan nama-nama dan butir-butir mengenai para Arkitek [termasuk nombor pendaftaran mereka] dalam iklan dan risalah jualan dan promosi bagi bangunan yang hendak dijual kepada awam digalakkan oleh Lembaga. Ini adalah selaras dengan prinsip mengumumkan maklumat-maklumat yang penting kepada para pembeli atau pengguna yang berpotensi. 

§         Media elektronik – para Arkitek boleh membayar dan menggunakan semua bentuk media elektronik yang ada bagi mempromosikan perkhidmatan mereka dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh LAM. 

SOAL JAWAB LAZIM PRAKTIS SENIBINA [4] – ARKITEK PROFESIONAL

Apakah yang membezakan seorang ’Arkitek Profesional’ dari seorang ’bukan profesional’? 

 Jawapan

Ciri-ciri berikut dimiliki oleh ’Arkitek Profesional’:  

  1. Selain secara umumnya tertakluk kepada undang-undang persekutuan [undang-undang negara] dalam menjalankan perkhidmatannya sebagai Arkitek Profesional, perkhidmatan dan tata laku seseorang Arkitek Profesional adalah dikawal oleh Akta Arkitek 1967 untuk memastikan Arkitek Profesional boleh dipertanggungjawabkan.
  2. Arkitek Profesional tidak boleh mengamalkan tata kelakuan berurusan secara melulu atau secara ’hentam keromo’ tanpa berpegang kepada kehendak-kehendak perundangan dan etika praktis yang telah ditetapkan.
  3. Arkitek Profesional tidak memperagakan hasil kerjanya dengan nilai kewangan tetapi kualiti kerja dan perkhidmatan yang berwibawa serta cemerlang.
  4. Arkitek Profesional dilarang dari memancing kerja atau memancing komisyen [soliciting] dengan cara yang bertentangan dengan garispanduan yang telah ditetapkan oleh Akta Arkitek 1967 atau mengambil alih [supplant] kerja Arkitek Profesional lain yang telah dilantik oleh mana-mana Kliennya.
  5. Pendekatan Arkitek Profesional adalah adil dan saksama tanpa ’pilih kasih’ dalam setiap urusan menyediakan perkhidmatannya dan tidak berpihak kepada mana-mana pihak.
  6. Perkhidmatan Arkitek Profesional mengutamakan kepentingan awam bukan kepentingan individu.
  7. Arkitek Profesional adalah terlatih secara khusus dan seorang yang pakar dan berwibawa untuk memberikan perkhidmatan profesionalnya kepada masyarakat.
  8. Arkitek Profesional mesti lulus peperiksaan profesional yang dikelola oleh badan pengawal khas profesion Arkitek di Malaysia [Lembaga Arkitek Malaysia – LAM] sebelum diikhtiraf layak memberikan perkhidmatan profesionalnya. 
  9. Komitment Arkitek Profesional kepada keutuhan profesion arkitek adalah dengan menyediakan khidmat profesional yang jujur dan efisyen.
  10. Lembaga Arkitek Malaysia [LAM] dan Persatuan Arkitek Malaysia [PAM] adalah badan-badan yang memainkan peranan penting memastikan kedaulatan mutu profesion Arkitek di Malaysia terpelihara secara khususnya dan penganjuran pelbagai aktiviti Pembangunan Profesional Berterusan [Continuing Professional Development – CPD] dan penglibatan mandatori Arkitek Profesional yang disyaratkan oleh LAM adalah satu langkah memastikan semua Arkitek sentiasa mengemaskini tingkat ilmu pengetahuan mereka berkaitan perkembangan semasa dan terkini profesion. [rujuk juga PERANAN ARKITEK]