STATUS PROFESION ARKITEK, PENGARUH, PERSAINGAN DAN CABARANNYA MASAKINI

Status profesion Arkitek pada asasnya amat bergantung atau terikat dengan perkembangan dan status industri pembinaan bangunan dan industri infrastruktur pembangunan alam bina amnya. 

Perkembangan ekonomi mempengaruhi status profesion Arkitek dalam keadaan seumpama berikut:   

§        Taraf atau pencapaian ekonomi yang lembab [recession] seperti apa yang berlaku dalam tahun 1985 hingga 1989 sebagai contohnya, telah menyebabkan ramai Arkitek Profrsional tidak mampu mengendalikan perniagaan praktis senibina mereka kerana tiada komisyen kerja yang diperolehi – ramai Arkitek Profesional berdepan dengan masalah sehingga ke tahap yang boleh menyebabkan mereka diikhtirafkan sebagai muflis. Pemberhentian kakitangan yang digajikan seperti Siswazah Arkitek dan kakitangan teknikal seperti Pelukis Pelan tidak dapat dielakkan. Sehingga, ada sesetengah Arkitek Profesional terpaksa beralih arah dengan mendapatkan peluang pekerjaan di luar negara. 

§        Dalam keadaan status ekonomi memuncak pula menyebabkan Arkitek mendapat komisyen kerja yang banyak dan lumayan. Ada kes-kes tertentu walaupun agak asing, Arkitek Profesional tanpa disedari menjadi terlalu sibuk sehingga cuai memastikan perkhidmatan yang baik diberikan kepada Pelanggan atau Majikannya. Perlu diingat, Arkitek-Arkitek [Arkitek Profesional dan Siswazah Arkitek] adalah tertakluk kepada pelbagai peruntukan Akta Arkitek 1967, yang menggubal kaedah dan peraturan khusus untuk mengawal perlakuan profesional mereka. Atas sebab perkhidmatan yang buruk yang diberikan kepada Majikannya, Arkitek terdedah dengan potensi melanggar ketetapan Kod Tata Kelakuan Profesional yang membolehkan mereka didakwa dan diambiltindakan sewajarnya oleh LAM.  

Pencapaian status ekonomi yang cemerlang boleh juga membuka peluang kepada Arkitek Asing untuk memasuki pasaran tempatan. Arkitek Tempatan akan tercabar jika tidak berupaya bersaing dengan mutu perkhidmatan yang diberikan oleh Arkitek Asing. Masalah dengan Arkitek Asing ialah mereka tidak terikat dengan peruntukan peraturan yang ada di Malaysia. Mereka seringkali menggunakan khidmat Arkitek Tempatan, yang telah dimestikan mematuhi kehendak-kehendak Kod Tata Kelakuan Profesional Arkitek di Malaysia, yang mana jika tersilap perkiraan dalam melaksanakan khidmat mereka kepada Arkitek Asing tersebut, mereka [Arkitek Profesional tempatan] akan terjebak memungkiri peruntukan Akta Arkitek 1967 berkenaan. 

Cabaran lain seperti penglibatan ahli profesional lain dalam skop kerja tradisi Arkitek. Contohnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini ahli profesional seperti Juruukur Bahan, Jurutera dan Pengurus Projek sudah mula mengambil alih skop kerja Arkitek sebagai pengurus projek. Kadang kala dalam konteks atau permasalahan seumpama ini, pendapat sesetengah pihak yang mengatakan Arkitek sendiri boleh dipersalahkan kerana sudah tidak lagi pakar memberikan khidmat profesionalnya, sebagai boleh diterima dan ditelan dengan pahitnya. Puncanya, Arkitek tidak sepatutnya melepaskan tanggungjawabnya sebagai orang yang bertanggungjawab memastikan setiap aspek pentadbiran dan pengurusan perlaksanaan satu-satu projek dilakukan oleh ahli profesional lain seperti menyerahkan sepenuhnya kepada Juruukur Bahan untuk menyediakan Spesifikasi, Dokumen Tawaran dan Dokumen Kontrak, sedangkan dia adalah orang yang berhak menentukan spesifikasi yang terbaik untuk penyataan bagaimana bangunan rekabentuknya perlu diperihalkan dan bagaimana satu-satu perjalanan kontrak binaan rekabentuknya perlu ditadbir. 

Kehadiran Juruperunding Pengurusan Projek [Project Manager] mutakhir ini, yang pendaftaran mereka direstui Kementerian Kewangan, juga secara langsung telah berjaya mengambil alih [supplanting] tugas Arkitek sebagai ketua kepada tim binaan [construction team] bilamana Arkitek hanya dilantik sebagai perunding kepada syarikat pengurus projek berkenaan yang majoriti pemegang saham atau pemilik syernya adalah dari kalangan ahli-ahli profesional lain dan yang paling anihnya ialah apabila individu bukan ahli profesional yang terlalu asing kepentingannya dalam industri pembinaan, seperti Akauntan dan Ahli Ekonomi juga dibolehkan menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah Juruperunding Pengurusan Projek. 

Terakhir sekali adalah cabaran dari kalangan profesion Arkitek itu sendiri bilamana adanya individu Arkitek yang bersikap tidak ambil peduli kepada peruntukan undang-undang berkaitan dengan profesion Arkitek dan tidak menghormati prinsip dan konsep sebenar keprofesionalan profesion Arkitek. Sebagai contoh, keujudan Arkitek Profesional [walaupun hanya segelintir kecil sahaja] yang mencari jalan mudah mendapatkan komisyen kepada penyediaan perkhidmatan dan tanggungjawab profesionalnya hanya dengan menjual tandatangannya kepada pihak ketiga, yang menyediakan skim rekabentuk dan lukisan binaan tanpa pengawasannya sebagai Arkitek yang sepatutnya dipertanggungjawabkan. Perlu dingat bahawa perlakuan ini melanggar ketetapan Akta Arkitek 1967 sepertimana ditegaskan di bawah Kod 3, Kod Tata Kelakuan Profesional Bagi Arkitek, iaitu Kod 3[8] yang berbunyi:  

Kod 3

Melaksanakan Tugas dan Kewajipan Dengan Taat Setia.Faithful Discharge of Duties and Obligations                

Kod 3(8):

A Professional Architect shall not certify, affix or put his signature to drawings, plans or specifications which are not prepared by him, his employees or persons under his supervision for the purpose of obtaining the approval from the relevant Authority. 

Yang Bermaksud: 

Seseorang Arkitek tidak boleh memperakukan, menandatangani atau menurunkan tandatangan kepada lukisan pelan atau spesifikasi yang bukan disediakan olehnya atau oleh kakitangan di bawah pengawasannya untuk tujuan mendapatkan kelulusan dari sebarang pihak berkuasa berkanun”.      

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s