Daily Archives: Januari 21, 2008

Petikan Akhbar [1] – APA KATA MENTERI MENGENAI CCC

Pembeli rumah diingat jangan bimbang CF diganti CCC
utusan.com.my 28/3/2005 

PETALING JAYA 27 Mac – Para pembeli rumah tidak perlu risau dengan langkah kerajaan menggantikan Sijil Layak Menduduki (CF) dengan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) bermula hujung tahun ini kerana semua aspek keselamatan dan kepentingan harta mereka masih dipelihara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, semua perundangan kawalan yang sama masih digunakan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) masih bertanggungjawab ke atas kelulusan tersebut.

“Mungkin wujud kekeliruan bahawa kita telah memansuhkan kuasa PBT tetapi semua perundangan kawalan sedia ada dan peranan PBT masih kekal.
“Kelulusan pembangunan masih diluluskan oleh PBT dan dalam proses pembangunan mereka memiliki kuasa memeriksanya.
“Hanya pada peringkat akhir sahaja, iaitu apabila semua jabatan dan pihak berkenaan telah mengesahkan selesainya peranan mereka dan pembangunan sudah siap, barulah golongan profesional mengeluarkan CCC untuk menggantikan CF. Itu sahaja perbezaannya,” katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan program-program sarjana muda kepujian sambilan Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) di kampusnya di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Utar, Tun Dr. Ling Liong Sik dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Utar, Tan Sri Dr. Ng Lay Swee.
Ka Ting berkata demikian ketika mengulas tentang kegusaran Persatuan Pembeli Rumah dengan keputusan kerajaan mengeluarkan CCC dan bukannya CF mulai hujung tahun ini. Menurut persatuan tersebut, PBT perlu terus bertanggungjawab ke atas pengeluaran CF dan bukannya profesional bagi CCC kerana PBT berada lebih dekat dengan kawasan pembangunan dan akan lebih mengetahui status dan keadaan pembangunan tersebut.Ka Ting yang mengumumkan perkara tersebut Isnin lalu menjelaskan, pengeluaran CCC oleh profesional iaitu arkitek dan jurutera yang mengemukakan pelan sesebuah pembangunan itu bertujuan mengurangkan birokrasi, waktu menunggu dan kos pemprosesan pembangunan perumahan. Menurutnya, langkah ini bukan baru malah telah digunakan untuk pembinaan rumah banglo sejak tahun 2000 lagi. Langkah itu katanya, adalah untuk keselamatan pembeli rumah dan kerajaan tidak dikompromi.Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan memastikan golongan profesional ini diberi pengawasan dan kawalan yang secukupnya. “Selain tertakluk di bawah peraturan dan perundangan badan profesional mereka, mereka akan turut dikawal dengan dikenakan denda dan diawasi dengan ketat oleh kementerian-kementerian dan badan-badan berkenaan. “Kita akan mewujudkan situasi di mana golongan profesional ini perlu benar-benar berhati-hati sebelum menandatangani sebarang sijil,” ujar Ka Ting. Beliau menjelaskan, situasi ini sejajar dengan kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, untuk memberikan golongan ini kepercayaan tetapi tetap bersedia mengawasi mereka yang tidak beretika.
Ka Ting menambah, langkah kerajaan ini tidak bertujuan melepaskan mana-mana pihak daripada bertanggungjawab terhadap sebarang penipuan tetapi adalah bagi mempertahankan keselamatan dan kepentingan pembeli rumah.
“Kerajaan telah mengambil masa untuk meneliti semua peraturan dan perundangan sedia ada serta polisi badan-badan profesional sebelum melaksanakan langkah ini.“Seterusnya mereka mendengar pandangan semua pihak dalam usaha menjadikan negara lebih berdaya saing dengan mengkaji cara-cara mengurangkan kos perniagaan dan masa menunggu demi memperbaiki sistem penghantaran awam. Inilah satu caranya,” jelas beliau

Advertisements

PROFESION, PROFESIONAL DAN PROFESIONALISMA

Profesion lebih mudah difahami sebagai pekerjaan. Profesional pula merujuk kepada individu yang melakukan pekerjaan tersebut sebagai suatu pekerjaan tetap dan sumber pendapatan utamanya. Profesionalima adalah tahap kecekapan dan akauntabiliti yang seharusnya didukung oleh individu profesional tersebut.

Dalam konteks diatas, jawatan ARKITEK adalah satu profesion. Seseorang yang berjawatan sebagai ARKITEK adalah seorang profesional. Contoh yang sama adalah seperti seorang guru, doktor, jurutera, dan seumpamanya. Masih ramai yang membataskan pengertian profesional hanya kepada beberapa profesion tertentu sahaja seperti arkitek, jurutera, doktor, peguam, akauntan dan seumpamanya yang menetapkan kriteria tertentu seperti ilmu pengetahuan, latihan, pengtauliahan badan profesional dan berautonomi. Tanpa menidakkan kriteria dan kepentingannya, kita harus menilai bahawa setiap pekerjaan atau profesion sesungguhnya membawa bersama tanggungjawab, integriti, akauntabiliti, pada tahap tertinggi tanpa mengira jawatan atau profesion individu itu. Semua kita adalah tertakluk kepada memberi perkhidmatan terbaik dan profesional pada setiap masa. Matlamat utama pekerjaan dan profesion diwujudkan hendaklah memberi faedah kepada masyarakat dan kemakmuran negara sejagat.

Bagi memenuhi tuntutan tersebut maka terciptalah berbagai jenis pekerjaan dan sehubungan itu pula diadakanlah syarat-syarat layak bagi setiap jenis profesion tersebut. Apabila seseorang itu telah membuat pilihan profesionnya, dan apa-apa tanggungjawab dan perlakuan yang diamalnya apabila memegang jawatan profesion yang berkenaan itu pula tidak merosakkan imej profesion itu, ia wajib bertekad untuk menunaikan pekerjaannya secara profesionalsma iaitu mencapai tahap yang ditetapkan oleh kehendak profesionnya. Dalam lain perkataan ia hendaklah bekerja dengan tekun, cekap, amanah, bersungguh-sungguh, adil, ikhlas dan beretika.

Etika profesional adalah nilai-nilai atau tingkahlaku murni yang harus dihayati oleh individu mengikut profesion masing-masing. Ia menjelaskan tindakan-tindakan betul yang perlu diikuti dan tindakan-tindakan salah yang perlu dihindari. Tujuan etika diadakan adalah untuk mengekalkan integriti moral individu profesional itu.