ARKITEK SEBAGAI SEORANG PROFESIONAL

Takrif Arkitek

Ilmu pengetahuan dan kepakaran yang bagaimanakah yang perlu dimiliki oleh seorang Arkitek yang boleh melayakkannya bergelar Arkitek? 

Perkataan Arkitek berasal dari perkataan Greek – ‘Arkhitekton’, yang bermaksud ‘ketua tukang bina’ [Head builder]. Definisi tradisional pula mentakrifkan Arkitek sebagai seorang yang merekabentuk, mentadbir dan menguruskan pembinaan sesuatu bangunan. Maka tugas utama Arkitek bolehlah disenaraikan seperti berikut: 

  1. Menyediakan Lakaran dan Lukisan Rekabentuk,
  2. Menyediakan Lukisan Binaan, 
  3. Menyediakan spesifikasi yang memperihalkan apa yang ditunjukkan dan dinyatakan di dalam Lukisan Rekabentuk dan Lukisan Binaan, 
  4. Membuat pemeriksaan Tapak Binaan sebelum kerja-kerja binaan dimulakan, 
  5. Menyediakan Dokumen Tawaran sebelum pemilihan kontraktor dibuat dan menyediakan Dokumen Kontrak apabila kontraktor telah dipilih, 
  6.  Memastikan proses dan sesi rundingan untuk memilih kontraktor yang bakal membina bangunan yang telah direkabentuknya, dijalankan sebaik mungkin mengikut kehendak perundangan yang berkaitan; dan 
  7. Tugas lain termasuklah menyediakan rekabentuk dan perancangan infrastruktur sesuatu skim pembangunan dan apa sahaja hal yang berkaitan dengan sosio ekonomi yang boleh mempengaruhi proses perancangan alam bina.  

Namun gelaran ‘Arkitek’ secara lazim mengikut peruntukan undang-undang khusus berkaitan dengannya pula, hanyalah layak kepada individu yang telah mendapat pendidikan khusus dalam bidang senibina [untuk satu tempoh yang tidak kurang dari lima tahun di peringkat ijazah dan sarjana (post-graduate) dan telah diluluskan pendaftarannya untuk menjalankan praktis senibina mengikut peruntukan mana-mana undang-undang berkaitan profesion Arkitek di kawasan, wilayah, negeri atau negara dimana Arkitek tersebut memberikan perkhidmatannya. Dari segi kepakaran, Lembaga Pendaftar Arkitek United Kingdom [Architects’ Registration Council of United Kingdom – ARCUK] pula menetapkan 3 keperluan asas yang perlu ada pada seseorang Arkitek: 

i]      Mencipta [to create], 

ii]      Merekabentuk dan merancang [to design and to plan]; serta 

iii]     Mengurus dan menyelia [to manage and supervise]. 

Untuk diikhtiraf sebagai seorang Arkitek, seseorang itu disyaratkan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang mencukupi, terlatih dan mempunyai pengalaman dalam bidang senibina dalam 3 aspek keperluan tersebut di atas. 

Kewibawaan seseorang Arkitek adalah juga bergantung kepada kemampuannya melaksanakan 3 aspek keperluan asas yang disenaraikan di atas.                 

Tinggalkan komen