HALAMAN ARKRAB

PERANAN ARKITEK

Januari 25, 2008 · 2 komen

Secara tradisionalnya peranan Arkitek adalah sepertimana peranan yang dipertanggungjawabkan kepada semua profesional yang lain. 

Peranan seorang Arkitek Profesional adalah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Pelanggan/Kliennya untuk merealisasikan bangunan idaman mereka. Arkitek bertanggungjawab menyediakan rekabentuk bangunan yang memenuhi kehendak pemiliknya, penghuninya atau majikannya [Klien].  

Seorang Arkitek Profesional beperanan memelihara kesetabilan susunan struktur masyarakat agar terpelihara dari sebarang unsur ketidakadilan dan penganiyaan. Sebagai contoh apabila seorang Arkitek dilantik untuk memberikan perkhidmatannya untuk satu projek pembangunan perumahan, dia perlulah bertingkahlaku dan bertindak secara profesional dengan tidak memihak kepada mereka yang melakukan kesalahan atau kemungkiran terhadap orang ketiga seperti pembeli rumah atau masyarakat am lain yang berurusan dan terlibat dalam projek tersebut.   

Arkitek bertanggungjawab memastikan peranan yang dimainkannya adalah mengikut perkembangan kehendak dan permintaan masyarakat yang sentiasa selari dengan perubahan masa serta perlu bertindak dengan sewajarnya terhadap kehendak dan permintaan masyarakat tersebut secara profesional.  

Untuk memahami dengan lebih mudah tentang peranan seorang Arkitek Profesional, huraian boleh dibuat mengikut pecahan beberapa aspek berikut: 

i.                    Aspek Tanggungjawab,  

ii.                  Aspek Imej; dan 

iii.                Aspek Kredibiliti dan Kemampuan, 

yang perlu dimiliki dan dipertanggungjawabkan oleh masyarakat kepadanya.      

TANGGUNGJAWAB ARKITEK

Sebagai seorang profesional secara tradisionalnya, Arkitek hendaklah:     

1.     Melaksanakan dan membuat penilaian dengan cekap setelah melakukan analisa yang rapi sebelum satu keputusan yang bijak dan muktamad dibuat, 

2.     Berpengetahuan dalam bidang pengurusan serta berkemampuan mengendalikan praktis senibina yang bersistematik dan berdayamaju dan baik dalam ‘public relation’ [PR], 

3.     Berkemampuan dalam semua hal yang bersangkutan dengan aspek alam semulajadi, kemasyarakatan dan undang-undang yang relevan, 

4.     Sentiasa melengkapi diri dengan kepakaran teknikal dan pelbagai kepakaran lain yang relevan, untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam bidang kesenibinaan khususnya dalam bidang rekabentuk dan teknik binaan. Kepakaran yang dimaksudkan boleh dijelaskan sepertimana berikut: 

Berwibawa menasihatkan Klien/Pemilik Bangunan tentang kesesuaian sesuatu cadangan rekabentuk agar ianya menepati fungsi, teknik pembinaan dan kos diperlukan, 

Bijak menentukan secara am susunan rekabentuk dan pembina

Terlatih untuk menyediakan Lukisan Kerja supaya bangunan mudah diterjemahkan oleh kontraktor bangunan di tapak yang dicadangkan; dan 

Bersedia memberikan khidmat nasihat kepada Klien/Pemilik Bangunan tentang keperluan perancangan mengikut keperluan perundangan seperti Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, ‘Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984’ [Uniform Building By Laws 1984 – UBBL] dan pelbagai keperluan lain yang relevan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan atau Agensi Teknikal Tempatan di kawasan dimana bangunan tersebut dicadang untuk dibina.  

5. Untuk hal-hal berkaitan pengurusan kontrak binaan, Arkitek sebagai juruperunding kepada Pelanggan/Klien sebagai Majikan [Borang Kontrak Seragam PAM atau apa sahaja borang kontrak seragam yang lazim digunakan, yang walaupun hanya mengikat di antara Kontraktor dan Majikan], Arkitek adalah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir perjalanan pengurusan kontrak tersebut yang mana seorang Arkitek:  

(a)  Perlu melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh teliti, tekun dan bijaksana serta secara profesional sepertimana yang telah digariskan oleh terma pertugasan [Syarat-Syarat Pertugasan Arkitek] dan syarat ikatan perjanjian perlantikannya [MoA] yang telah dimeterikan, 

(b) Adalah seorang penimbangtara [arbiter or quasi-arbitrator] yang adil. Ia mestilah membuat satu keputusan yang tidak berat sebelah apabila mentadbir pelbagai hal yang berkaitan dengan ikatan kontrak di antara Pelanggan/Klien dan Kontraktor serta siapa sahaja pihak ketiga yang ada terlibat di dalam kontrak tersebut dimana beliau juga adalah Pegawai Penguasa [SO]. 

(c)  Pakar mengendalikan kerja-kerja di tapak secara profesional mengikut kehendak terma kontrak di antara Pelanggan/Klien dan kontraktor yang telah dimeterikan kerana selain sebagai Pegawai Penguasa [SO], Arkitek juga adalah seorang pengurus projek. Apabila dilantik sebagai pengurus projek beberapa perkara di bawah adalah dipertanggungjawabkan dan mesti diambil perhatian sepenuhnya: 

Sistem pengurusan yang efisyen dan penjadualan masa yang betul; 

Kefahaman yang tepat dan sensitif dengan persekitaran untuk menghasilkan idea rekabentuk yang baik; 

Memerlukan pengetahuan yang mendalam mengenai undang-undang dan piawaian yang berkaitan dengan bangunan atau pembangunan amnya;    

Menyediakan butiran piawaian (standard) bagi memudahkan perlaksanaan projek; dan 

 Rujukan lengkap perlu dibuat samada dengan mendapatkan sumbernya dari orang perseorangan, bahan bacaan, jabatan atau agensi yang berkaitan.  

6. Profesion Arkitek adalah juga dipertanggungjawabkan dengan pelbagai tanggungjawab dari segi perundangan sepertimana di bawah: 

§        Akta Arkitek 1967 [Architect Acts 1967] yang menetapkan Kod Tata Kelakuan Profesionalnya [Professional Code of Ethics] dan Skel Fee Minimum [Minimum Scale of Fees] – Memorandum Perjanjian [Memorandum of Agreement] di antara Pelanggan/Klien/Majikan dengan Arkitek yang disyaratkan oleh LAM dalam perjanjian perlantikan perkhidmatan Arkitek jelas menyenaraikan tanggungjawab Arkitek kepada Majikan/Pelanggan/Kliennya tersebut. 

§        Sebagai orang yang memohon kelulusan pelan bangunan di bawah kawalan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 [Principal Submitting Person under UBBL 1984], dan mutakhir ini pula Arkitek Profesional dipertanggungjawabkan mengeluarkan CCC.

§        Sebagai orang yang membuat perakuan kepada Perakuan Kesiapan Kerja di bawah Akta Pemajuan Perumahan [Housing development Act] – kandungan Perjanjian Jual dan Beli [Sales and Purchase Agreement – S&P] di antara Pembeli dan Pemaju di dalam Klausa tertentu yang memperihalkan dan menggariskan tanggungjawab Arkitek sebagai orang yang bertanggungjawab memastikan Pembeli memperolehi haknya.    

§        Seorang Arkitek bukan sahaja bertanggungjawab mematuhi undang-undang khusus untuk bangunan tetapi undang-undang am lain juga. 

IMEJ SEORANG ARKITEK

Imej seseorang Arkitek adalah bergantung kepada perlakuan [performance] dan keprofesionalanya [professionalism] yang ditentukan oleh: 

§        Kecekapannya [competency], 

§        Kejujurannya [integrity]; dan 

§        Tanggungjawabnya [responsibility]. 

Sebarang kesilapan dan kegagalan seseorang Arkitek melaksanakan peranannya dan tanggungjawabnya dengan bijaksana dan cekap, secara jujur dan penuh dedikasi, ia akan merosakkan imejnya sebagai seorang Arkitek yang profesional. 

Untuk menjaga imej yang dikehendaki oleh masyarakat, seseorang Arkitek itu:         

§        Mestilah seorang yang berdidikasi melaksanakan tugas profesionalnya sepertimana kepiawaian [standard] yang diharapkan darinya sebagai seorang Arkitek. 

§        Cekap perlakuannya. Dia perlu cekap melaksanakan tugas profesional yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya 

§        Perlu jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawabnya: 

o       Sebagai contoh ketika membuat perakuan kesiapan kerja di dalam ‘progress payment, 

o       Ketika menyediakan ‘Perakuan Kesiapan Kerja’ di bawah Akta Pemajuan Perumahan [Housing Development Act]; dan 

o       Bersungguh melaksanakan komitmennya [commitment]. 

KREDIBILITI ATAU KEMAMPUAN ARKITEK PROFESIONAL

Sebagai ketua kepada tim pembinaan [construction team], seorang Arkitek perlulah berkemampuan melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh cekap, berhati-hati dan berhemat [prudence] supaya tidak menyusahkan siapa sahaja pihak ketiga seperti menzalimi satu pihak untuk memberikan keuntungan pada satu pihak yang lain. Arkitek adalah seorang ‘man of wisdom’. Lazimnya Arkitek adalah penasihat, pentadbir dan pembuat keputusan yang bijaksana. Arkitek perlu tegas membuat apa sahaja keputusan dan tidak begitu mudah mengalah kepada sebarang bentuk cabaran. Semuanya hanyalah kerana, apa sahaja bentuk keputusan yang dibuatnya, perlulah berbentuk kebenaran yang berlandaskan undang-undang dan kesaksamaan profesionnya. 

Kredibiliti, keupayaan dan kemampuan ilmu pengetahuan seorang Arkitek mengikut yang telah digariskan oleh piawai antarabangsa sepertimana yang disenaraikan di bawah ini, perlu diperolehi/dikuasai/dimiliki samada dari pengalaman kerja secara praktik dan pengalaman yang didapati melalui latihan intensif ketika berkursus dimana sahaja pusat pengajian tinggi atau melalui pengalaman melaksanakan apa sahaja kerja berkaitan kesenibinaan di firma yang menjalankan praktis senibina: 

  •  
    • Mempunyai dayacipta yang tinggi dan kreatif dalam merekabentuk dan merancang sesuatu binaan bangunan yang menepati kehendak astetik dan teknikal dan mampu bertahan kepada pengaruh alam semulajadi dan pelbagai pengaruh lain yang ada kaitan dengan binaan bangunan; 
    • Mempunyai pengetahuan yang mencukupi dan mampu memahami asal usul sejarah dan teori senibina dan pelbagai seni dan teknologi berkaitan dengannya serta sains kemanusiaan; 
    • Mempunyai pengetahuan tentang ilmu senihalus kerana pengaruhnya yang kuat terhadap kualiti rekabentuk senibina.     
    • Mempunyai pengetahuan yang baik tentang rekabentuk dan perancangan urbanisma dan mempunyai keupayaan dalam mezahirkan pelbagai skema rekabentuk yang baik dalam proses perancangan; 
    • Memahami pertalian di antara manusia dan bangunan serta antara bangunan dan pengaruhnya kepada alam semulajadi dan memahami keperluan untuk merealisasikan alam bina yang bersuasana selesa untuk keperluan manusia dan berjaya membina ruang binaan yang berpadan dengan skala manusia;     
    • Mempunyai pengetahuan tentang kaedah terbaik untuk menyediakan rekabentuk bangunan dan perancangan ruang gunaan yang bersesuaian dan boleh bertahan lama oleh pengaruh alam semulajadi;     
    • Memahami dengan sebenarnya keunikan profesion Arkitek jika dibandingkan dengan profesion lain dan memahami peranan Arkitek kepada masyarakat terutama dalam mengambilkira kehendak serta faktor sosial dan kemanusiaan dalam penyediaan ‘ringkasan’ [brief] rekabentuk dan perancangan bangunan;     
    • Memahami dan melaksanakan kaedah-kaedah yang tepat dalam membuat penyelidikan dan persiapan dalam menyediakan ‘ringkasan’ [brief] skema rekabentuk sesuatu projek.     
    • Memahami asas dan konsep struktur binaan dan struktur kejuruteraan sesuatu skema rekabentuk dan mempunyai kepakaran dalam mengenalpasti potensi permasalahan yang akan timbul akibat pengaruh dari struktur yang gagal berfungsi sepatutnya;  Mempunyai pengetahuan tentang masalah fisikal, keberkesanan dan fungsi teknologi sesuatu rekabentuk bangunan terutama yang berkaitan dengan kemampuan rekabentuk tersebut dalam memenuhi kehendak yang diperlukan untuk keselesaan penghuninya terutama dalam fungsinya memberikan perlindungan dari iklim dimana ianya dibina; 
    • Keperluan memiliki kepakaran yang khusus untuk menentukan rekabentuk yang dizahirkan memenuhi kehendak pengguna atau penghuninya dalam batas kos yang termampu dan dalam batas yang ditentukan oleh kehendak undang-undang bangunan berkaitan; 
    • Mempunyai pengetahuan tentang industri, organisasi, peraturan atau undang-undang dan tatacara yang diperakukan dan diterimapakai dalam menterjemahkan konsep rekabentuk bangunan supaya menepati kehendak dan konsep perdana perancangan yang telah digazetkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan atau badan atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab ke atasnya; dan  
    • Mempunyai pengetahuan yang mencukupi serta bijak menguruskannya berkaitan strateji pembiayaan dan mengawal kos pembangunanya.            

→ 2 CommentsKategori: Peranan Arkitek Dalam Masyarakat · Undang-Undang & Akta Arkitek

LAM dan PAM

Januari 25, 2008 · 2 komen

Badan Pengawal Profesion Arkitek 

Terdapat dua badan yang mengawalselia profesion Arkitek di Malaysia iaitu Lembaga Arkitek Malaysia (LAM – the Board of Architects Malaysia) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM – the Malaysian Institute of Architects). 

LAM:

§         Adalah satu badan berkanun (a statutory body) yang ditubuhkan tertakluk di bawah peruntukan Seksyen 3[1], Akta Arkitek 1967 (Pindaan April 2007). 

§         Badan ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Menteri (under the jurisdiction of Minister) – Kementerian Kerja Raya.  

§         Satu entiti perundangan bagi profesion Arkitek dan praktis senibina (architectural practice). LAM boleh mendakwa dan didakwa. 

§         Satu Badan yang telah diberikan kuasa oleh Menteri di bawah peruntukan Seksyen 35 Akta Arkitek 1967 [Pindaan April 2007], untuk menggubal peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah untuk mengawalselia profesion Arkitek dan praktis senibina. 

§         Sebagai badan yang bertanggungjwab menguruskan pendaftaran dan pembatalan pendaftaran Siswazah Arkitek, Arkitek Profesional dan Pelukis Pelan Berdaftar.                             

PAM:

§         Adalah satu persatuan profesion Arkitek. PAM menyediakan satu wadah dimana Arkitek boleh berhimpun untuk berpersatuan. 

§         Adalah satu badan sukarela yang ditadbir oleh ahli-ahlinya yang terdiri dari Arkitek. 

§         PAM adalah pusat komunikasi di antara ahli-ahli Arkiteknya. 

§         Ditubuhkan dengan objektif esklusifnya sebagai penggerak semangat dalam usaha memertabatkan bidang senibina, praktis senibina dan profesion Arkitek itu sendiri.   

§         Tertakluk di bawah Akta Persatuan (Societies Act). 

§         PAM mewakili ahlinya dalam memperjuangkan sebarang isu-isu dan polisi-polisi yang berkaitan profesion Arkitek dan praktis senibina amnya terutamanya dalam memastikan ianya seiring dengan aspirasi kerajaan.      

→ 2 CommentsKategori: Undang-Undang & Akta Arkitek

CCC [3]

Januari 25, 2008 · Tinggalkan Komen

Bilakah PSP Boleh Keluarkan CCC ?

  1. Apabila semua syarat-syarat teknikal telah dipatuhi,
  2. Apabila Borang G [21komponen utama pembinaan melalui konsep perakuan berperingkat] telah disahkan dan diterima termasuk borang-borang yang tidak berkenaan,
  3. Apabila kesemua perkhidmatan perlu [assential services] telah disediakan; dan
  4. Apabila PSP memberi akuan telah mengawasi pembinaan dan penyiapan bangunan berkenaan.

→ Leave a CommentKategori: Undang-Undang &Peraturan Bangunan

CCC [2]

Januari 25, 2008 · Tinggalkan Komen

CIRI-CIRI CCC

  1. Peluasan sistem CCC sediada bagi banglo berasingan kepada bangunan-bangunan kategori lain.
  2. Orang Utama Yang Mengemukakan [PSP] samada Arkitek Profesional atau Jurutera Profesional atau Pelukis Pelan Berdaftar dibenar keluarkan CCC.
  3. Peningkatan aspek tanggungjawab dan akauntabiliti melalui proses perakuan berperingkat [Semua pihak terlibat dalam projek yang dibina akan mempunyai liabilti, bukan hanya terletak kepada PSP].
  4. Semua pihak bertanggungjawab ke atas komponen pembinaan yang berkaitan dengannya
  5. PBT tetap memiliki kuasa meluluskan Kebenaran Merancang dan Kelulusan Pelan Bangunan.
  6. PBT adalah berkuasa untuk membuat pemeriksaan tapak bila-bila masa atas inisiatif sendiri atau atas aduan.
  7. PBT boleh mengeluarkan notis kepada PSP untuk perbetulkan ketidakpatuhan [non-compliance].
  8. PBT dibenarkan melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang diperlukan jika PSP gagal melaksanakannya dan PBT ada kuasa mendakwa PSP.

→ Leave a CommentKategori: Undang-Undang &Peraturan Bangunan

CCC

Januari 24, 2008 · Tinggalkan Komen

CCC telah sepenuhnya dikuatkuasakan perlaksanaannya untuk menggantikan amalan tradisi pengeluaran CFO bermula pada tarikh 12 April 2007 di Semenanjung Malaysia atas tujuan memudahkan proses dan prosedur mengesahkan bangunan yang dibina layak untuk diduduki atau untuk dihuni. 

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang CCC?

CCC [Certificate of Completion and Compliance] adalah Perakuan Siap dan Pematuhan, dalam bahasa Malaysianya. CCC menggantikan CFO [Certificate of Fitness for Occupation] iaitu Perakuan Kelayakan Menduduki, dalam bahasa Malaysianya. 

CCC [Perakuan Siap dan Pematuhan] adalah perakuan bangunan yang dikeluarkan oleh para profesional seperti Arkitek Profesional yang berdaftar dengan LAM, Jurutera Profesional yang berdaftar dengan LJM dan/atau Pelukis Pelan Bangunan yang berdaftar dengan LAM sebagai Orang Utama Yang Mengemukakan [the Principal Submitting Person = PSP] sepertimana yang telah di takrifkan atau diperuntukkan oleh Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan 2007) (Akta A1286 - iaitu suatu Akta untuk meminda Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974), Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 [Pindaan 2007] [UKBS], yang bertanggungjawab mengawasi proses pembinaan bangunan berkenaan, untuk mengesahkan bangunan yang telah siap dibina adalah selamat dan layak diduduki yang mana pembinaanya adalah sepenuhnya mematuhi peruntukan undang-undang, pelan bangunan yang diluluskan dan juga syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh PBT diperingkat kelulusan pelan. Pentakrifan ini bertujuan membezakan peranan yang dimainkan diantara para profesional dengan pihak-pihak seperti kontraktor atau lain-lain profesional yang turut terlibat di dalam projek berkenaan. 

CCC boleh dikeluarkan SERENTAK atau bersekali dengan pengeluaran Notis Milikan Kosong (Notice of Vacant Possession) – ini akan menyingkatkan masa menunggu untuk memasuki bangunan oleh pemilik/pembeli bangunan.  

TETAPI:

Walaupun kuasa mengeluarkan CCC diambilalih oleh para profesional, pihak PBT [Pihak Berkuasa Tempatan] diberi peranan dan tanggungjawab untuk memastikan wujudnya faktor kawalan dan perseimbangan [check and balance] dalam sistem perakuan ini. 

SEPERTI:

Kuasa meluluskan permohonan Kebenaran Merancang dan Kelulusan Pelan Bangunan masih lagi milik PBT. PBT juga berkuasa membuat pemeriksaan di tapak projek bila-bila masa dan dimana-mana peringkat pembinaan bangunan TERMASUK selepas bangunan disiapkan. 

KUASA PBT:

  1. Meluluskan Kebenaran Merancang,
  2. Meluluskan Pelan Bangunan,
  3. Berkuasa mengarahkan PSP atau PBT sendiri mengambil tindakan membetulkan sebarang ketidakpatuhan [non-compliance] kepada peruntukan undang-undang atau syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam proses kelulusan pelan. Namun penetapan faktor ketidakpatuhan hanya layak ditentukan oleh Mesyuarat Jawatankuasa OSC.
  4. PBT boleh mengeluarkan arahan berhenti kerja atau mengeluarkan arahan menahan pengeluaran CCC jika mana-mana ketidakpatuhan yang telah dikenalpasti tidak diperbetulkan.
  5. PBT boleh mendakwa para profesional dan melaporkan salahlaku mereka untuk tindakan disiplin oleh lembaga profesional yang berkenaan. [INGAT: Di bawah Akta Arkitek 1967 [Akta 117][Pindaan 2007], tindakan disiplin termasuk pembatalan pendaftaran sebagai profesional boleh dikenakan atas salahlaku yang membabitkan kemungkiran tanggungjawab atau pelanggaran etika].   
  6. PBT akan memastikan bangunan lebih dari 5 tingkat dan berusia 10 tahun dari tarikh CCC dikeluarkan, diperiksa tahap keselamatannya setiap 10 tahun.

KELEBIHAN CCC:

Satu kehendak [sebagai satu sistem kawalan] dengan menetapkan setiap pihak, iaitu samada kontraktor atau sub-kontraktor tred dan profesional lain yang bertanggungjawab terhadap sesuatu komponen pembinaan itu diwajibkan mengesahkan penyiapan dan pematuhan komponen berkenaan. Sebagai contoh kontraktor yang bertanggungjawab kepada pemasangan sistem pepaipan dalaman bangunan adalah juga bertanggungjawab memperakukan bahawa sistem pepaipan berkenaan telah mematuhi peruntukan perundangan, syarat-syarat dan pelan yang diluluskan.   

YANG JELAS:

Yang jelas dalam konteks CCC ini, Arkitek Profesional, Jurutera Profesional dan Pelukis Pelan Berdaftar telah dipertanggungjawabkan menentukan segala aspek teknikal seperti pelan yang telah diluluskan yang sebelum ini tanggungjawab PBT, dipertanggungjawabkan kepada mereka untuk mengeluarkan satu perakuan mengesahkan bahawa bangunan yang dibina adalah layak dan selamat diduduki. Pengeluaran perakuan kelayakan menduduki [CFO] seumpama ini sebelum ini, adalah kuasa PBT. Atas perlaksanaan ini maka untuk menetapkan tanggungjawab ini [kuasa mengeluarkan CCC] maka 6 akta telah dipinda, seperti: 

  1. Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Pindaan 2007] [Akta 133],
  2. Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 [Pindaan 2007] [Akta 133],
  3. Akta Arkitek 1967 [pindaan 2007] [Akta 117],
  4. Akta Pendaftaran Jurutera 1967 [Pindaan 2007] [Akta 138],
  5. Akta Pemajuan Perumahan [Kawalan dan Pelesenan] 1966 [Pindaan 2007] [Akta 118]; dan
  6. Akta Hakmilik Strata 1985 [Pindaan 2007[ [Akta 318].

  

→ Leave a CommentKategori: Undang-Undang &Peraturan Bangunan

Takrif Siswazah Arkitek Dan Arkitek Profesional Berdaftar Mengikut ketetapan Akta Arkitek 1967 [Pindaan April 2007]

Januari 22, 2008 · Tinggalkan Komen

Lembaga Arkitek Malaysia [LAM] dan Pertubuhan Arkitek Malaysia [PAM] menetapkan beberapa keperluan minima untuk menjaga kepiawaian [standard] dan kualiti seseorang Arkitek. Seseorang individu hanya layak diterima pendaftarannya sebagai seorang Siswazah Arkitek oleh LAM apabila ia memenuhi kehendak Seksyen 10(1)(a) Akta Arkitek 1967 [Pindaan April 2007] yang mensyaratkan ia hendaklah memiliki kelayakan akademik yang diikhtiraf oleh LAM. Di bawah Seksyen 10(1)(b) Akta Arkitek 1967 [Pindaan April 2007], pula, seorang Siswazah Arkitek dikehendaki memperolehi pengalaman praktikal dan lulus Peperiksaan Profesional Bahagian III kelolaan Majlis Peperiksaan Senibina Malaysia seperti yang telah ditetapkan oleh LAM, sebelum mereka layak memohon pendaftaran sebagai Arkitek Profesional. [Syarat LAM: Tempoh pengalaman praktikal yang ditetapkan ialah dua [2] tahun yang mana satu setengah [1½] tahun daripadanya hendaklah diperolehi dengan berkerja dimana-mana pejabat/firma Arkitek. Daripada tempoh 1½ tahun tersebut, satu [1] tahun daripadanya hendaklah pengalaman yang diperolehi di Malaysia. Tempoh pengalaman praktikal selama dua [2] tahun bagi tujuan menduduki Peperiksaan Profesional Bahagian III hanya dikira bermula daripada tarikh seorang Siswazah Arkitek itu berdaftar dengan LAM. Sebarang pengalaman praktikal sebelum seseorang siswazah Arkitek itu berdaftar dengan LAM tidak akan diambilkira bagi tujuan di atas.][ rujuk Handbook For The Part III Professional Examination oleh Majlis Peperiksaan Senibina Malaysia ] 

Yang jelasnya dalam konteks ini, seseorang Siswazah Arkitek  itu hanya layak dipanggil ‘Arkitek Profesional’ apabila telah mendapatkan kelulusan akademik khusus di dalam bidang senibina yang diperakukan oleh LAM dan telah didaftarkan sebagai Ahli Korporat [Corporate Membership] PAM dan sebagai Arkitek Profesional LAM apabila telah lulus Peperiksaan Profesional Bahagian III kelolaan Majlis Peperiksaan Senibina Malaysia [Rujuk Seksyen 10(2)(a)ii dan Seksyen 10(2)(a)iii Akta Arkitek (Pindaan April 2007) ]. 

Arkitek Profesional lazimnya menjalankan praktis senibinanya secara persendirian [sole proprietorship] atau secara bersama rakan kongsi [partnership]. Arkitek Profesional layak dilantik oleh Pelanggan/Kliennya untuk membuat permohonan kebenaran merancang dan mendapatkan kelulusan pelan bangunan yang telah direkabentuk olehnya dari mana sahaja Pihak Berkuasa Tempatan [PBT], sebelum projek binaan bangunan tersebut dibenarkan dilaksanakan.    Arkitek Profesional yang dipertanggungjawab memberikan perkhidmatan profesionalnya untuk melaksanakan apa sahaja pembangunan seperti skim pembangunan perumahan, pembangunan taman perindustrian, pembangunan hartanah atau pelbagai bentuk pembangunan lain dimana ia hendaklah diupah oleh orang yang terlibat dengan pembangunan tersebut. Begitu juga jika ia memberikan perkhidmatan kepada siapa sahaja individu yang terlibat di dalam usaha lain seperti mengubahsuai, membaikpulih, menghias, membekalkan peralatan, menyelenggara dan membiaya sesuatu projek berkaitan dengan pembangunan atau pembinaan bangunan, ia sebagai Arkitek Profesional mestilah diberikan ganjaran berbentuk upahan.[rujuk definisi ’architectural consultancy’ Akta Arkitek 1967 [Pindaan April 2007].   

→ Leave a CommentKategori: Undang-Undang &Peraturan Bangunan

Petikan Akhbar [1] – APA KATA MENTERI MENGENAI CCC

Januari 21, 2008 · Tinggalkan Komen

Pembeli rumah diingat jangan bimbang CF diganti CCC
utusan.com.my 28/3/2005 

PETALING JAYA 27 Mac – Para pembeli rumah tidak perlu risau dengan langkah kerajaan menggantikan Sijil Layak Menduduki (CF) dengan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) bermula hujung tahun ini kerana semua aspek keselamatan dan kepentingan harta mereka masih dipelihara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, semua perundangan kawalan yang sama masih digunakan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) masih bertanggungjawab ke atas kelulusan tersebut.

“Mungkin wujud kekeliruan bahawa kita telah memansuhkan kuasa PBT tetapi semua perundangan kawalan sedia ada dan peranan PBT masih kekal.
“Kelulusan pembangunan masih diluluskan oleh PBT dan dalam proses pembangunan mereka memiliki kuasa memeriksanya.
“Hanya pada peringkat akhir sahaja, iaitu apabila semua jabatan dan pihak berkenaan telah mengesahkan selesainya peranan mereka dan pembangunan sudah siap, barulah golongan profesional mengeluarkan CCC untuk menggantikan CF. Itu sahaja perbezaannya,” katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan program-program sarjana muda kepujian sambilan Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) di kampusnya di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Utar, Tun Dr. Ling Liong Sik dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Utar, Tan Sri Dr. Ng Lay Swee.
Ka Ting berkata demikian ketika mengulas tentang kegusaran Persatuan Pembeli Rumah dengan keputusan kerajaan mengeluarkan CCC dan bukannya CF mulai hujung tahun ini. Menurut persatuan tersebut, PBT perlu terus bertanggungjawab ke atas pengeluaran CF dan bukannya profesional bagi CCC kerana PBT berada lebih dekat dengan kawasan pembangunan dan akan lebih mengetahui status dan keadaan pembangunan tersebut.Ka Ting yang mengumumkan perkara tersebut Isnin lalu menjelaskan, pengeluaran CCC oleh profesional iaitu arkitek dan jurutera yang mengemukakan pelan sesebuah pembangunan itu bertujuan mengurangkan birokrasi, waktu menunggu dan kos pemprosesan pembangunan perumahan. Menurutnya, langkah ini bukan baru malah telah digunakan untuk pembinaan rumah banglo sejak tahun 2000 lagi. Langkah itu katanya, adalah untuk keselamatan pembeli rumah dan kerajaan tidak dikompromi.Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan memastikan golongan profesional ini diberi pengawasan dan kawalan yang secukupnya. “Selain tertakluk di bawah peraturan dan perundangan badan profesional mereka, mereka akan turut dikawal dengan dikenakan denda dan diawasi dengan ketat oleh kementerian-kementerian dan badan-badan berkenaan. “Kita akan mewujudkan situasi di mana golongan profesional ini perlu benar-benar berhati-hati sebelum menandatangani sebarang sijil,” ujar Ka Ting. Beliau menjelaskan, situasi ini sejajar dengan kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, untuk memberikan golongan ini kepercayaan tetapi tetap bersedia mengawasi mereka yang tidak beretika.
Ka Ting menambah, langkah kerajaan ini tidak bertujuan melepaskan mana-mana pihak daripada bertanggungjawab terhadap sebarang penipuan tetapi adalah bagi mempertahankan keselamatan dan kepentingan pembeli rumah.
“Kerajaan telah mengambil masa untuk meneliti semua peraturan dan perundangan sedia ada serta polisi badan-badan profesional sebelum melaksanakan langkah ini.“Seterusnya mereka mendengar pandangan semua pihak dalam usaha menjadikan negara lebih berdaya saing dengan mengkaji cara-cara mengurangkan kos perniagaan dan masa menunggu demi memperbaiki sistem penghantaran awam. Inilah satu caranya,” jelas beliau

→ Leave a CommentKategori: Petikan Akhbar Berkaitan Industri Pembinaan · Undang-Undang &Peraturan Bangunan

PROFESION, PROFESIONAL DAN PROFESIONALISMA

Januari 21, 2008 · Tinggalkan Komen

Profesion lebih mudah difahami sebagai pekerjaan. Profesional pula merujuk kepada individu yang melakukan pekerjaan tersebut sebagai suatu pekerjaan tetap dan sumber pendapatan utamanya. Profesionalima adalah tahap kecekapan dan akauntabiliti yang seharusnya didukung oleh individu profesional tersebut.

Dalam konteks diatas, jawatan ARKITEK adalah satu profesion. Seseorang yang berjawatan sebagai ARKITEK adalah seorang profesional. Contoh yang sama adalah seperti seorang guru, doktor, jurutera, dan seumpamanya. Masih ramai yang membataskan pengertian profesional hanya kepada beberapa profesion tertentu sahaja seperti arkitek, jurutera, doktor, peguam, akauntan dan seumpamanya yang menetapkan kriteria tertentu seperti ilmu pengetahuan, latihan, pengtauliahan badan profesional dan berautonomi. Tanpa menidakkan kriteria dan kepentingannya, kita harus menilai bahawa setiap pekerjaan atau profesion sesungguhnya membawa bersama tanggungjawab, integriti, akauntabiliti, pada tahap tertinggi tanpa mengira jawatan atau profesion individu itu. Semua kita adalah tertakluk kepada memberi perkhidmatan terbaik dan profesional pada setiap masa. Matlamat utama pekerjaan dan profesion diwujudkan hendaklah memberi faedah kepada masyarakat dan kemakmuran negara sejagat.

Bagi memenuhi tuntutan tersebut maka terciptalah berbagai jenis pekerjaan dan sehubungan itu pula diadakanlah syarat-syarat layak bagi setiap jenis profesion tersebut. Apabila seseorang itu telah membuat pilihan profesionnya, dan apa-apa tanggungjawab dan perlakuan yang diamalnya apabila memegang jawatan profesion yang berkenaan itu pula tidak merosakkan imej profesion itu, ia wajib bertekad untuk menunaikan pekerjaannya secara profesionalsma iaitu mencapai tahap yang ditetapkan oleh kehendak profesionnya. Dalam lain perkataan ia hendaklah bekerja dengan tekun, cekap, amanah, bersungguh-sungguh, adil, ikhlas dan beretika.

Etika profesional adalah nilai-nilai atau tingkahlaku murni yang harus dihayati oleh individu mengikut profesion masing-masing. Ia menjelaskan tindakan-tindakan betul yang perlu diikuti dan tindakan-tindakan salah yang perlu dihindari. Tujuan etika diadakan adalah untuk mengekalkan integriti moral individu profesional itu.

→ Leave a CommentKategori: Peranan Arkitek Dalam Masyarakat

Prinsip Asas Profesion Arkitek Sebagai Seorang Profesional

Januari 18, 2008 · Tinggalkan Komen

4 prinsip asas profesion Arkitek adalah: 

  1. Mempunyai kepakaran khas dan ilmu pengetahuan dalam bidang kesenibinaan [arkitektur] yang tidak dimiliki oleh bukan profesional – biasanya dimiliki setelah menjalankan kursus intensif dalam tempoh yang tertentu serta telah memiliki pengalaman praktikal dalam perkerjaan dan telah memenuhi lain-lain kehendak dan keperluan yang telah disyaratkan oleh Lembaga Arkitek Malaysia [LAM]. 
  2. Seorang profesional adalah seorang yang cekap dan berwibawa [competence], boleh dipercayai [reliable] serta bertanggungjawab dan jujur memberikan perkhidmatannya [honest in his dealings]. 
  3. Profesion Arkitek mempunyai perundangan sendiri terdiri dari akta yang digubal oleh Parlimen dan peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah  yang digubal oleh LAM. LAM mempunyai hak mengambil tindakan displin terhadap ahli-ahlinya jika tingkahlaku mereka bertentangan dengan Akta atau jika mereka melakukan sebarang penyelewengan di dalam melaksanakan kerja-kerja profesional mereka; dan 
  4. Seorang Arkitek Profesional adalah bertanggungjawab ke atas apa sahaja tindaktanduk, tingkahlaku dan perlakuan mereka sendiri.    

→ Leave a CommentKategori: Peranan Arkitek Dalam Masyarakat · Undang-Undang & Akta Arkitek

ARKITEK SEBAGAI SEORANG PROFESIONAL

Januari 17, 2008 · Tinggalkan Komen

Takrif Arkitek

Ilmu pengetahuan dan kepakaran yang bagaimanakah yang perlu dimiliki oleh seorang Arkitek yang boleh melayakkannya bergelar Arkitek? 

Perkataan Arkitek berasal dari perkataan Greek – ‘Arkhitekton’, yang bermaksud ‘ketua tukang bina’ [Head builder]. Definisi tradisional pula mentakrifkan Arkitek sebagai seorang yang merekabentuk, mentadbir dan menguruskan pembinaan sesuatu bangunan. Maka tugas utama Arkitek bolehlah disenaraikan seperti berikut: 

  1. Menyediakan Lakaran dan Lukisan Rekabentuk,
  2. Menyediakan Lukisan Binaan, 
  3. Menyediakan spesifikasi yang memperihalkan apa yang ditunjukkan dan dinyatakan di dalam Lukisan Rekabentuk dan Lukisan Binaan, 
  4. Membuat pemeriksaan Tapak Binaan sebelum kerja-kerja binaan dimulakan, 
  5. Menyediakan Dokumen Tawaran sebelum pemilihan kontraktor dibuat dan menyediakan Dokumen Kontrak apabila kontraktor telah dipilih, 
  6.  Memastikan proses dan sesi rundingan untuk memilih kontraktor yang bakal membina bangunan yang telah direkabentuknya, dijalankan sebaik mungkin mengikut kehendak perundangan yang berkaitan; dan 
  7. Tugas lain termasuklah menyediakan rekabentuk dan perancangan infrastruktur sesuatu skim pembangunan dan apa sahaja hal yang berkaitan dengan sosio ekonomi yang boleh mempengaruhi proses perancangan alam bina.  

Namun gelaran ‘Arkitek’ secara lazim mengikut peruntukan undang-undang khusus berkaitan dengannya pula, hanyalah layak kepada individu yang telah mendapat pendidikan khusus dalam bidang senibina [untuk satu tempoh yang tidak kurang dari lima tahun di peringkat ijazah dan sarjana (post-graduate) dan telah diluluskan pendaftarannya untuk menjalankan praktis senibina mengikut peruntukan mana-mana undang-undang berkaitan profesion Arkitek di kawasan, wilayah, negeri atau negara dimana Arkitek tersebut memberikan perkhidmatannya. Dari segi kepakaran, Lembaga Pendaftar Arkitek United Kingdom [Architects’ Registration Council of United Kingdom – ARCUK] pula menetapkan 3 keperluan asas yang perlu ada pada seseorang Arkitek: 

i]      Mencipta [to create], 

ii]      Merekabentuk dan merancang [to design and to plan]; serta 

iii]     Mengurus dan menyelia [to manage and supervise]. 

Untuk diikhtiraf sebagai seorang Arkitek, seseorang itu disyaratkan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang mencukupi, terlatih dan mempunyai pengalaman dalam bidang senibina dalam 3 aspek keperluan tersebut di atas. 

Kewibawaan seseorang Arkitek adalah juga bergantung kepada kemampuannya melaksanakan 3 aspek keperluan asas yang disenaraikan di atas.                 

→ Leave a CommentKategori: Peranan Arkitek Dalam Masyarakat · Undang-Undang & Akta Arkitek