Category Archives: Undang-Undang & Akta Arkitek

SOAL JAWAB LAZIM PRAKTIS SENIBINA [5] – MENGIKLANKAN PERKHIDMATAN PROFESIONAL

Bolehkah Arkitek mengiklankan perkhidmatan profesionalnya? 

JAWAPAN

Mengikut ketetapan Kod 4 (7) Kod Tata Kelakuan Profesional Arkitek di bawah Kod 4 – Integriti Profesional, seseorang Arkitek dibenarkan mengiklankan perkhidmatan profesionalnya dalam apa sahaja bentuk dengan syarat pengiklanan yang dibuat tersebut menepati garispanduan-garispanduan yang dikeluarkan oleh Lembaga Arkitek Malaysia.  

4(7)     Seseorang Arkitek boleh mengiklankan perkhidmatan profesionalnya melalui mana-mana cara iklan awam, dengan syarat pengiklanan yang dibuat tersebut menepati atau mengikut garispanduan atau pekeliling yang dikeluarkan oleh Lembaga. 

[A Professional Architect may advertise his professional services by any public means, where such advertisement is in accordance with the guidelines or circulars issued by the board]. 

Sepertimana yang dijelaskan oleh Pekeliling Am LAM 3/1997, tujuan Arkitek mengiklankan perkhidmatan profesionalnya secara lazim adalah: 

§         Untuk memaklumkan kepada pihak awam mengenai perkhidmatan profesionalnya [tidak kira samada kos terlibat ditanggung oleh Arkitek sendiri atau sebaliknya]. 

§         Dalam masa yang sama mengumumkan semua maklumat lain yang relevan dengan perkhidmatan profesionalnya. 

§         Satu langkah penting dalam aktiviti pemasaran dan promosi secara langsung atau tidak langsung untuk mempengaruhi minat masyarakat. 

§         Membayangkan kebanggaan Arkitek tersebut terhadap perkhidmatan profesionalnya sementara yang tersirat adalah untuk memberitahu bahawa dia sanggup dan BERSEDIA menerima tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan. 

Maka cara-cara membuat pengiklanan oleh Arkitek yang dibenarkan adalah sebagaimana berikut: 

§         Pengumuman dibuat tentang penglibatan Arkitek dalam risalah-risalah jualan dan dalam apa-apa sahaja dokumen yang dikeluarkan untuk pembeli – yang penting maklumat yang diberikan MESTILAH TEPAT. 

§         Tiada sekatan dikenakan terhadap pendedahan identiti atau profesion Arkitek mahupun saiz atau bentuk iklan TETAPI iklan-iklan tersebut bersesuaian dengan tujuan asalnya. 

§         Penyertaan dalam direktori dan lain-lain percetakan,       Percetakan:                    

o             LAM,

o             PAM,

o             Pertubuhan Arkitek Serantau [ARCASIA],

o             Pertubuhan Arkitek Antarabangsa [UIA],

o             Pertubuhan Arkitek Kommenwel [CAA]; dan

o             Lain-lain journal yang perlu mendapatkan kebenaran LAM. 

§         Tanda pada bangunan – para Arkitek digalakkan membuat tanda pada bangunan yang direkabentuk olehnya. Tanda tersebut hendaklah dilokasi yang sesuai dan dalam suatu bentuk yang akan dapat dipamerkan secara kekal dan mengandungi maklumat penting seperti tahun bangunan itu siap serta No. Pendaftaran Arkitek berkenaan. 

§         Papan tanda bagi pejabat dan projek -  Para Arkitek dibenarkan meletak pada bangunan pejabat mereka nama praktis dalam bentuk dan saiz yang berpatutan dan meliputi logo mereka bagi menunjukkan identiti yang dihajati. Papan tanda projek yang memberi maklumat yang diperlukan di bawah mana-mana perundangan boleh didirikan di Tapak Bina dalam suatu saiz dan gaya yang sesuai dan meliputi logo praktis Arkitek itu supaya dapat dilihat oleh orang awam. 

§         Pengumuman dan felicitation – iklan-iklan yang berupa pengumuman atau ‘fecilitation’ dalam akhbar boleh mengandungi nama dan profesion Arkitek serta meliputi logo praktis di mana sesuai. 

§         Iklan serta risalah jualan dan promosi – percetakan nama-nama dan butir-butir mengenai para Arkitek [termasuk nombor pendaftaran mereka] dalam iklan dan risalah jualan dan promosi bagi bangunan yang hendak dijual kepada awam digalakkan oleh Lembaga. Ini adalah selaras dengan prinsip mengumumkan maklumat-maklumat yang penting kepada para pembeli atau pengguna yang berpotensi. 

§         Media elektronik – para Arkitek boleh membayar dan menggunakan semua bentuk media elektronik yang ada bagi mempromosikan perkhidmatan mereka dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh LAM. 

SOAL JAWAB LAZIM PRAKTIS SENIBINA [3] – KOT TATA KELAKUAN PROFESIONAL

Mengapa Arkitek memerlukan Kod Tata Kelakuan Profesional? 

JAWAPAN:

Secara ringkas, Kod Tata Kelakuan Profesional [kod etika] adalah satu dasar akhlak atau moral. Kod Tata Kelakuan Profesional adalah penting kerana pelbagai aspek berikut:

§                     Ia menggariskan struktur utama tingkah laku yang perlu dimiliki oleh seorang profesional. 

§                     Ia bertujuan mengawal perlakuan profesional. 

§                     Tanpa Kod Tata Kelakuan Profesional, Arkitek hilang haknya sebagai seorang profesional. 

§                     Untuk membezakan seorang profesional dari seorang bukan profesional.   

ARKITEK DAN LIABILITI PROFESIONALNYA

wordpressfiles01.jpgApabila seseorang Arkitek Profesional itu dilantik oleh mana-mana majikan/klien untuk memberikan perkhidmatan profesionalnya, secara automatiknya dia mempunyai liabiliti dan tanggungjawab profesionalnya bukan sahaja kepada kliennya malah kepada semua pihak lain yang terlibat dalam projek berkaitan di mana dia adalah juruperunding Arkitek yang dilantik. Pihak-pihak tersebut adalah seperti juruperunding lain yang samada dilantik secara terus di bawah pengawasan Arkitek yang dilantik [directly appointed under the team of architect] atau yang dilantik khas oleh Klien sendiri, Pihak Berkuasa Tempatan [PBT] kerana Arkitek Profesional adalah ‘Orang Utama Yang Mengemukakan” pelan dan juga kepada pengguna-pengguna yang mempunyai hak kepada projek yang dilaksanakan.  

Arkitek profesional juga mempunyai liabiliti dari segi undang-undang seperti Undang-Undang Persekutuan [Federal Constitution] secara amnya dan akta-akta seperti Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Pindaan 2007] [Akta 133], Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 [Pindaan 2007] [Akta 133], Akta Arkitek 1967 [pindaan April 2007] [Akta 117], Akta Pemajuan Perumahan [Kawalan dan Pelesenan] 1966 [Pindaan 2007] [Akta 118]; dan Akta Hakmilik Strata 1985 [Pindaan 2007[ [Akta 318] dan lain-lain perundangan secara tidak langsungnya. Untuk memastikan Arkitek melindungi dirinya daripada mana-mana atau apa-apa liabiliti profesionalnya, langkah-langkah berikut adalah penting dan perlu/mesti diambil untuk memastikan dia tidak dengan semudahnya terjebak kepada permasalahan yang boleh menyebabkan integriti profesionalnya dipersoalkan atau digangugugat oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab:  

Memastikan perlantikannya dibuat secara rasmi [formal] dengan meminta Majikannya menandatangani Surat Perlantikan yang menyertakan Memorandum Perjanjian [Perjanjian antara Pelanggan dengan Arkitek bagi Perkhidmatan Profesional] menggunakan format LAM sebelum memulakan sebarang Kerja. 

Derafkan Surat Perlantikan untuk juruperunding-juruperunding lain yang dilantik oleh Majikan dengan memastikan perlantikan mereka sepenuhnya secara esklusif supaya tiada skop kerja yang tertinggal yang boleh membebankan Arkitek di kemudian hari jika Arkitek diwakilkan oleh Majikan untuk melantik mereka. 

Medokumentasikan kenyataan-kenyataan [statements] yang jelas tentang pengecualian pihak Arkitek dari bertanggungjawab terhadap perunding-perunding yang bukan dilantik di bawah pengawasannya terutama terhadap ‘performance’, kecuaian [negligency] dan perlakuan juruperunding-juruperunding tersebut yang bertentangan dengan perundangan yang perlu dipatuhinya sama ada secara khusus dan secara amnya. 

Sekiranya pembayaran fee untuk perunding lain adalah melalui Arkitek, pastikan bahawa mereka bersetuju bahawa Majikan adalah bertanggungjawab terhadap fee mereka. 

Terangkan kepada pihak-pihak lain atau mana-mana pihak ketiga bahawa apa-apa penganugerahan Kerja yang dibuat oleh Arkitek bagi pihak Majikan, pembayarannya adalah atas tanggungjawab Majikan. 

Dapatkan kebenaran Majikan apabila hendak memulakan mana-mana fasa skop kerja Arkitek dan pastikan mendapat arahan bertulis dari Majikan sebelum memulakan sebarang peringkat skop kerja tersebut. 

Membuat pengesahan kepada Majikan tentang fasa-fasa skop Kerja Arkitek yang telah disiapkan secara bertulis [jika rekabentuk sertakan set-set lukisan yang telah dipersetujui untuk disahkan oleh Majikan].  

Jangan berjanji untuk melakukan apa-apa skop kerja atau tanggungjawab yang di luar kemampuan Arkitek. Jangan memberi jaminan tentang Kos Pembinaan. Jangan berjanji untuk mendapatkan kelulusan pantas daripada pihak berkuasa. 

Apabila terdapat elemen-elemen yang meragukan di dalam Kontrak dapatkan nasihat pakar profesional. 

Cuba jayakan parameter asas kehendak-kehendak Majikan sebelum memulakan kerja-kerja rekabentuk – contoh Kos, Kuantiti, Kualiti dan Masa – sekiranya tedapat perubahan pada parameter asas ini maklumkan kepada Majikan secara bertulis dan dapatkan pengesahan mereka.

                                                        KOS

 

                        KUANTITI                                  KUALITI

 

                                                       MASA   

         PARAMETER KEHENDAK MAJIKAN YANG SALING BERKAITAN

Sahkan kesemua aspek fizikal sebelum membuat perakuan bertulis seperti perakuan pembayaran, pensijilan, Laporan Tapak dan sebagainya. 

Arkitek mesti memeriksa kesemua lukisan dan dokuman-dokumen sebelum menyerahkan kepada pihak-pihak tertentu untuk mengelakkan potensi berlakunya tuntutan terhadap percanggahan atau pemesongan. 

Arkitek jangan sekali-kali mengambil tanggungjawab pihak-pihak lain untuk menyiapkan skop kerja mereka. 

SOAL JAWAB LAZIM PRAKTIS SENIBINA [2] – hak, obligasi dan tanggungjawab

Apabila berdaftar di bawah Akta Arkitek 1967 [Pindaan April 2007], seseorang individu Arkitek itu akan sentiasa mempunyai tanggungjawab untuk memertabatkan nilai murni profesion Arkitek itu sendiri kerana ia adalah tertakluk kepada pelbagai hak, obligasi dan tanggungjawab sebagai Arkitek kepada masyarakat.

[When registered under the Architects Act 1967 [Revised April 2007], an Architect is expected to uphold the community’s expectation via the various rights, obligations and responsibilities for which he is bound to]. 

Apakah hak, obligasi dan tanggungjawab seseorang Arkitek yang relevan serta kaitannya dengan praktis senibina?

[Describe briefly the various Architect's rights, obligations and responsibilities and their relevance in an architectural practice?].  

JAWAPAN:               

hak

Rights: 

§                     Hak berdaftar di bawah Akta untuk menjalankan praktis profesional,

[To be registered under the Act for Professional practice]. 

§                     Hak dipanggil sebagai Arkitek Profesional Berdaftar secara sah disegi perundangan yang telah ditetapkan untuk profesion Arkitek.

[To be called legally as ‘Registered Professional Architect’]. 

§                     Hak sebagai ‘Orang Berkelayakan’ yang layak menjadi ‘Orang Utama yang Mengemukakan [PSP]’ yang mengemukakan pelan kepada Pihak Berkuasa Tempatan.                       

[To be entitled to submit plans to approving bodies of authorities]. 

§                     Hak mengenakan dan memungut fee untuk perkhidmatan profesional yang diberikan [di luar dan di dalam mahkamah] yang dibenarkan di bawah peruntukan Akta Arkitek.

[To charge and collect Professional fees]. 

§                     Haknya sebagai Arkitek Profesional Berdaftar yang dalam status tertentu dikecualikan dari dikehendaki membuat sebarang permohonan daripada mana-mana agensi kerajaan selain Lembaga Arkitek Malaysia, untuk lesen-lesen perniagaan atau untuk menjalankan praktis profesional. 

[To be exempted from further licensing under trade practices].   

obligasi

Obligations: 

§                     Obligasi menjelaskan kepada Kliennya tentang Syarat-Syarat Pertugasan Arkitek dan Skel Fee Profesional yang akan dikenakan sepertimana yang telah diperuntukkan oleh Akta Arkitek.

[To inform his Client of his Conditions of Engagement and Scale of Professional Fees chargeable]. 

§                     Obligasinya memertabatkan profesion Arkitek.

[To uphold the profession]. 

§                     Obligasinya untuk mematuhi peruntukan-peruntukan dan kehendak-kehendak Kod Tata Kelakuan Profesional dan Kod Praktis.

[To comply with the provisions of the Professional Code of Conduct and Practice]. 

§                     Bertindak secara adil dan saksama dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak antara Klien dan Kontraktor dalam mentadbir dan menguruskan kontrak binaan.

[To act impartially between his client and the contractor]. 

§                     Melaksanakan tanggungjawab perkhidmatannya terhadap Klien dengan penuh ikhlas dan jujur.

[To faithfully discharge his service to his client]. 

§                     Menyediakan Dokumen Kontrak dan menguruskan Kontrak.

[To prepare contract documentation and its administration]. 

§                     Mencadangkan kepada Klien tentang keperluan perlantikan juruperunding pakar dan juruperunding sokongan.

[To recommend the appointment of supporting consultants and specialists].  

tanggungjawab

Responsibilities: 

§                     Melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional dan sepertimana yang telah ditetapkan kepadanya sebagai seorang profesional.

[To discharge his duties Professionally]. 

§                     Bersedia menanggung liabiliti ke atas tugasnya dan perkhidmatannya.

[To be liable to his duties and services]. 

§                     Tidak meletakkan dirinya dengan sengaja di dalam situasi yang mempunyai konflik kepentingan peribadinya.

[ To avoid intentionally taking position of conflict.] 

§                     Bertanggungjawab mematuhi kehendak-kehendak perundangan dan kehendak-kehendak undang-undang bangunan seperti Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 [UBBL 1984].

[To comply with statutory By-Law requirements]. 

§                     Bertanggungjawab menyetara [coordinate] perkhidmatan juruperunding sokongan yang dilantik olehnya.

[To coordinate the services of all appointed supporting consultants and contractors]. 

§                     Tidak menjalankan praktis yang bertujuan untuk mengelakkannya daripada melaksanakan tanggungjawabnya terhadap Kliennya.

[Not to carry on practice having the effect of avoiding his responsibility to his client]   

STATUS PROFESION ARKITEK, PENGARUH, PERSAINGAN DAN CABARANNYA MASAKINI

Status profesion Arkitek pada asasnya amat bergantung atau terikat dengan perkembangan dan status industri pembinaan bangunan dan industri infrastruktur pembangunan alam bina amnya. 

Perkembangan ekonomi mempengaruhi status profesion Arkitek dalam keadaan seumpama berikut:   

§        Taraf atau pencapaian ekonomi yang lembab [recession] seperti apa yang berlaku dalam tahun 1985 hingga 1989 sebagai contohnya, telah menyebabkan ramai Arkitek Profrsional tidak mampu mengendalikan perniagaan praktis senibina mereka kerana tiada komisyen kerja yang diperolehi – ramai Arkitek Profesional berdepan dengan masalah sehingga ke tahap yang boleh menyebabkan mereka diikhtirafkan sebagai muflis. Pemberhentian kakitangan yang digajikan seperti Siswazah Arkitek dan kakitangan teknikal seperti Pelukis Pelan tidak dapat dielakkan. Sehingga, ada sesetengah Arkitek Profesional terpaksa beralih arah dengan mendapatkan peluang pekerjaan di luar negara. 

§        Dalam keadaan status ekonomi memuncak pula menyebabkan Arkitek mendapat komisyen kerja yang banyak dan lumayan. Ada kes-kes tertentu walaupun agak asing, Arkitek Profesional tanpa disedari menjadi terlalu sibuk sehingga cuai memastikan perkhidmatan yang baik diberikan kepada Pelanggan atau Majikannya. Perlu diingat, Arkitek-Arkitek [Arkitek Profesional dan Siswazah Arkitek] adalah tertakluk kepada pelbagai peruntukan Akta Arkitek 1967, yang menggubal kaedah dan peraturan khusus untuk mengawal perlakuan profesional mereka. Atas sebab perkhidmatan yang buruk yang diberikan kepada Majikannya, Arkitek terdedah dengan potensi melanggar ketetapan Kod Tata Kelakuan Profesional yang membolehkan mereka didakwa dan diambiltindakan sewajarnya oleh LAM.  

Pencapaian status ekonomi yang cemerlang boleh juga membuka peluang kepada Arkitek Asing untuk memasuki pasaran tempatan. Arkitek Tempatan akan tercabar jika tidak berupaya bersaing dengan mutu perkhidmatan yang diberikan oleh Arkitek Asing. Masalah dengan Arkitek Asing ialah mereka tidak terikat dengan peruntukan peraturan yang ada di Malaysia. Mereka seringkali menggunakan khidmat Arkitek Tempatan, yang telah dimestikan mematuhi kehendak-kehendak Kod Tata Kelakuan Profesional Arkitek di Malaysia, yang mana jika tersilap perkiraan dalam melaksanakan khidmat mereka kepada Arkitek Asing tersebut, mereka [Arkitek Profesional tempatan] akan terjebak memungkiri peruntukan Akta Arkitek 1967 berkenaan. 

Cabaran lain seperti penglibatan ahli profesional lain dalam skop kerja tradisi Arkitek. Contohnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini ahli profesional seperti Juruukur Bahan, Jurutera dan Pengurus Projek sudah mula mengambil alih skop kerja Arkitek sebagai pengurus projek. Kadang kala dalam konteks atau permasalahan seumpama ini, pendapat sesetengah pihak yang mengatakan Arkitek sendiri boleh dipersalahkan kerana sudah tidak lagi pakar memberikan khidmat profesionalnya, sebagai boleh diterima dan ditelan dengan pahitnya. Puncanya, Arkitek tidak sepatutnya melepaskan tanggungjawabnya sebagai orang yang bertanggungjawab memastikan setiap aspek pentadbiran dan pengurusan perlaksanaan satu-satu projek dilakukan oleh ahli profesional lain seperti menyerahkan sepenuhnya kepada Juruukur Bahan untuk menyediakan Spesifikasi, Dokumen Tawaran dan Dokumen Kontrak, sedangkan dia adalah orang yang berhak menentukan spesifikasi yang terbaik untuk penyataan bagaimana bangunan rekabentuknya perlu diperihalkan dan bagaimana satu-satu perjalanan kontrak binaan rekabentuknya perlu ditadbir. 

Kehadiran Juruperunding Pengurusan Projek [Project Manager] mutakhir ini, yang pendaftaran mereka direstui Kementerian Kewangan, juga secara langsung telah berjaya mengambil alih [supplanting] tugas Arkitek sebagai ketua kepada tim binaan [construction team] bilamana Arkitek hanya dilantik sebagai perunding kepada syarikat pengurus projek berkenaan yang majoriti pemegang saham atau pemilik syernya adalah dari kalangan ahli-ahli profesional lain dan yang paling anihnya ialah apabila individu bukan ahli profesional yang terlalu asing kepentingannya dalam industri pembinaan, seperti Akauntan dan Ahli Ekonomi juga dibolehkan menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah Juruperunding Pengurusan Projek. 

Terakhir sekali adalah cabaran dari kalangan profesion Arkitek itu sendiri bilamana adanya individu Arkitek yang bersikap tidak ambil peduli kepada peruntukan undang-undang berkaitan dengan profesion Arkitek dan tidak menghormati prinsip dan konsep sebenar keprofesionalan profesion Arkitek. Sebagai contoh, keujudan Arkitek Profesional [walaupun hanya segelintir kecil sahaja] yang mencari jalan mudah mendapatkan komisyen kepada penyediaan perkhidmatan dan tanggungjawab profesionalnya hanya dengan menjual tandatangannya kepada pihak ketiga, yang menyediakan skim rekabentuk dan lukisan binaan tanpa pengawasannya sebagai Arkitek yang sepatutnya dipertanggungjawabkan. Perlu dingat bahawa perlakuan ini melanggar ketetapan Akta Arkitek 1967 sepertimana ditegaskan di bawah Kod 3, Kod Tata Kelakuan Profesional Bagi Arkitek, iaitu Kod 3[8] yang berbunyi:  

Kod 3

Melaksanakan Tugas dan Kewajipan Dengan Taat Setia.Faithful Discharge of Duties and Obligations                

Kod 3(8):

A Professional Architect shall not certify, affix or put his signature to drawings, plans or specifications which are not prepared by him, his employees or persons under his supervision for the purpose of obtaining the approval from the relevant Authority. 

Yang Bermaksud: 

Seseorang Arkitek tidak boleh memperakukan, menandatangani atau menurunkan tandatangan kepada lukisan pelan atau spesifikasi yang bukan disediakan olehnya atau oleh kakitangan di bawah pengawasannya untuk tujuan mendapatkan kelulusan dari sebarang pihak berkuasa berkanun”.      

Aktiviti Pekerjaan Seorang Arkitek

Apabila seseorang individu itu telah layak bergelar samada sebagai seorang Siswazah Arkitek atau seorang Arkitek Profesional, terdapat berbagai peluang pekerjaan yang boleh dilakukan sepertimana berikut:

[pelbagai sektor di mana Arkitek boleh mendapatkan pekerjaannya]            

[1] Sektor Awam:                       

·        Di jabatan-jabatan kerajaan seperti JKR, mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan [PBT], mana-mana Agensi Pembangunan Tanah Kerajaan Negeri dan lain-lain. 

·        Sebagai kakitangan tenaga pengajar mana-mana pusat pengajian tinggi awam yang menyediakan kursus khusus untuk pengajian senibina. 

·        Di agensi-agensi korporat kerajaan yang masih di bawah pentadbiran kerajaan contoh: Tenaga Nasional Berhad [TNB], Indah Water Konsortium [IWK] – di Jabatan Arkitek atau Perancang di sesetengah Pihak Berkuasa Tempatan.       

[2] Sektor Swasta: 

·        Bekerja sendiri menjalankan praktis perseorangan. 

·        Sebagai salah seorang rakan kongsi dalam praktis perkongsian. 

·        Sebagai salah seorang Pengarah dalam badan berkanun yang memberikan perkhidmatan praktis senibina. 

·        Sebagai tenaga pengajar di institut pengajian tinggi swasta. 

·        Bekerja di institusi kewangan. 

Siswazah Arkitek Bergaji dan Arkitek Profesional Bergaji  

Siswazah Arkitek Bergaji dan Arkitek Profesional Bergaji biasanya adalah individu Siwazah Arkitek atau Arkitek Profesional yang bukan rakan kongsi mana-mana firma Arkitektur atau pengarah mana-mana badan korporat yang memberikan perkhidmatan senibina/arkitektur. Mereka-mereka ini tidak memberikan perkhidmatan sebagai juruperunding senibina profesional. Perkhidmatan mereka hanya diberikan kepada majikan mereka sahaja dan mereka di bayar upah dalam bentuk gaji.  

Arkitek Profesional yang menjalankan khidmat rundingan senibina memberikan khidmat profesionalnya kepada mana-mana pihak klien atau majikan yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan dengan senibina dan mereka perlu dibayar yuran yang jumlah dan bentuknya telah ditentukan oleh Skel Fee Minima sepertimana yang telah ditetapkan oleh Kaedah-Kaedah [Skel Fee Minima] Arkitek 1996. 

Walaubagaimanapun sesetengah strategi perniagaan dalam menangani masalah pembayaran cukai pendapatan, sesetengah rakan kongsi atau pengarah firma Arkitek terdiri dari Arkitek Profesional yang yang juga dibayar gajinya. Namun, untuk kepastian dalam konteks ini sila semak Surat Pekeliling Am LAM Bil. 4/1987 yang memberi panduan kepada perlakuan Arkitek bergaji atau untuk mereka yang bekerja makan gaji.                             

PERANAN ARKITEK

Secara tradisionalnya peranan Arkitek adalah sepertimana peranan yang dipertanggungjawabkan kepada semua profesional yang lain. 

Peranan seorang Arkitek Profesional adalah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Pelanggan/Kliennya untuk merealisasikan bangunan idaman mereka. Arkitek bertanggungjawab menyediakan rekabentuk bangunan yang memenuhi kehendak pemiliknya, penghuninya atau majikannya [Klien].  

Seorang Arkitek Profesional beperanan memelihara kesetabilan susunan struktur masyarakat agar terpelihara dari sebarang unsur ketidakadilan dan penganiyaan. Sebagai contoh apabila seorang Arkitek dilantik untuk memberikan perkhidmatannya untuk satu projek pembangunan perumahan, dia perlulah bertingkahlaku dan bertindak secara profesional dengan tidak memihak kepada mereka yang melakukan kesalahan atau kemungkiran terhadap orang ketiga seperti pembeli rumah atau masyarakat am lain yang berurusan dan terlibat dalam projek tersebut.   

Arkitek bertanggungjawab memastikan peranan yang dimainkannya adalah mengikut perkembangan kehendak dan permintaan masyarakat yang sentiasa selari dengan perubahan masa serta perlu bertindak dengan sewajarnya terhadap kehendak dan permintaan masyarakat tersebut secara profesional.  

Untuk memahami dengan lebih mudah tentang peranan seorang Arkitek Profesional, huraian boleh dibuat mengikut pecahan beberapa aspek berikut: 

i.                    Aspek Tanggungjawab,  

ii.                  Aspek Imej; dan 

iii.                Aspek Kredibiliti dan Kemampuan, 

yang perlu dimiliki dan dipertanggungjawabkan oleh masyarakat kepadanya.      

TANGGUNGJAWAB ARKITEK

Sebagai seorang profesional secara tradisionalnya, Arkitek hendaklah:     

1.     Melaksanakan dan membuat penilaian dengan cekap setelah melakukan analisa yang rapi sebelum satu keputusan yang bijak dan muktamad dibuat, 

2.     Berpengetahuan dalam bidang pengurusan serta berkemampuan mengendalikan praktis senibina yang bersistematik dan berdayamaju dan baik dalam ‘public relation’ [PR], 

3.     Berkemampuan dalam semua hal yang bersangkutan dengan aspek alam semulajadi, kemasyarakatan dan undang-undang yang relevan, 

4.     Sentiasa melengkapi diri dengan kepakaran teknikal dan pelbagai kepakaran lain yang relevan, untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam bidang kesenibinaan khususnya dalam bidang rekabentuk dan teknik binaan. Kepakaran yang dimaksudkan boleh dijelaskan sepertimana berikut: 

Berwibawa menasihatkan Klien/Pemilik Bangunan tentang kesesuaian sesuatu cadangan rekabentuk agar ianya menepati fungsi, teknik pembinaan dan kos diperlukan, 

Bijak menentukan secara am susunan rekabentuk dan pembina

Terlatih untuk menyediakan Lukisan Kerja supaya bangunan mudah diterjemahkan oleh kontraktor bangunan di tapak yang dicadangkan; dan 

Bersedia memberikan khidmat nasihat kepada Klien/Pemilik Bangunan tentang keperluan perancangan mengikut keperluan perundangan seperti Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, ‘Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984’ [Uniform Building By Laws 1984 – UBBL] dan pelbagai keperluan lain yang relevan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan atau Agensi Teknikal Tempatan di kawasan dimana bangunan tersebut dicadang untuk dibina.  

5. Untuk hal-hal berkaitan pengurusan kontrak binaan, Arkitek sebagai juruperunding kepada Pelanggan/Klien sebagai Majikan [Borang Kontrak Seragam PAM atau apa sahaja borang kontrak seragam yang lazim digunakan, yang walaupun hanya mengikat di antara Kontraktor dan Majikan], Arkitek adalah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir perjalanan pengurusan kontrak tersebut yang mana seorang Arkitek:  

(a)  Perlu melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh teliti, tekun dan bijaksana serta secara profesional sepertimana yang telah digariskan oleh terma pertugasan [Syarat-Syarat Pertugasan Arkitek] dan syarat ikatan perjanjian perlantikannya [MoA] yang telah dimeterikan, 

(b) Adalah seorang penimbangtara [arbiter or quasi-arbitrator] yang adil. Ia mestilah membuat satu keputusan yang tidak berat sebelah apabila mentadbir pelbagai hal yang berkaitan dengan ikatan kontrak di antara Pelanggan/Klien dan Kontraktor serta siapa sahaja pihak ketiga yang ada terlibat di dalam kontrak tersebut dimana beliau juga adalah Pegawai Penguasa [SO]. 

(c)  Pakar mengendalikan kerja-kerja di tapak secara profesional mengikut kehendak terma kontrak di antara Pelanggan/Klien dan kontraktor yang telah dimeterikan kerana selain sebagai Pegawai Penguasa [SO], Arkitek juga adalah seorang pengurus projek. Apabila dilantik sebagai pengurus projek beberapa perkara di bawah adalah dipertanggungjawabkan dan mesti diambil perhatian sepenuhnya: 

Sistem pengurusan yang efisyen dan penjadualan masa yang betul; 

Kefahaman yang tepat dan sensitif dengan persekitaran untuk menghasilkan idea rekabentuk yang baik; 

Memerlukan pengetahuan yang mendalam mengenai undang-undang dan piawaian yang berkaitan dengan bangunan atau pembangunan amnya;    

Menyediakan butiran piawaian (standard) bagi memudahkan perlaksanaan projek; dan 

 Rujukan lengkap perlu dibuat samada dengan mendapatkan sumbernya dari orang perseorangan, bahan bacaan, jabatan atau agensi yang berkaitan.  

6. Profesion Arkitek adalah juga dipertanggungjawabkan dengan pelbagai tanggungjawab dari segi perundangan sepertimana di bawah: 

§        Akta Arkitek 1967 [Architect Acts 1967] yang menetapkan Kod Tata Kelakuan Profesionalnya [Professional Code of Ethics] dan Skel Fee Minimum [Minimum Scale of Fees] – Memorandum Perjanjian [Memorandum of Agreement] di antara Pelanggan/Klien/Majikan dengan Arkitek yang disyaratkan oleh LAM dalam perjanjian perlantikan perkhidmatan Arkitek jelas menyenaraikan tanggungjawab Arkitek kepada Majikan/Pelanggan/Kliennya tersebut. 

§        Sebagai orang yang memohon kelulusan pelan bangunan di bawah kawalan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 [Principal Submitting Person under UBBL 1984], dan mutakhir ini pula Arkitek Profesional dipertanggungjawabkan mengeluarkan CCC.

§        Sebagai orang yang membuat perakuan kepada Perakuan Kesiapan Kerja di bawah Akta Pemajuan Perumahan [Housing development Act] – kandungan Perjanjian Jual dan Beli [Sales and Purchase Agreement – S&P] di antara Pembeli dan Pemaju di dalam Klausa tertentu yang memperihalkan dan menggariskan tanggungjawab Arkitek sebagai orang yang bertanggungjawab memastikan Pembeli memperolehi haknya.    

§        Seorang Arkitek bukan sahaja bertanggungjawab mematuhi undang-undang khusus untuk bangunan tetapi undang-undang am lain juga. 

IMEJ SEORANG ARKITEK

Imej seseorang Arkitek adalah bergantung kepada perlakuan [performance] dan keprofesionalanya [professionalism] yang ditentukan oleh: 

§        Kecekapannya [competency], 

§        Kejujurannya [integrity]; dan 

§        Tanggungjawabnya [responsibility]. 

Sebarang kesilapan dan kegagalan seseorang Arkitek melaksanakan peranannya dan tanggungjawabnya dengan bijaksana dan cekap, secara jujur dan penuh dedikasi, ia akan merosakkan imejnya sebagai seorang Arkitek yang profesional. 

Untuk menjaga imej yang dikehendaki oleh masyarakat, seseorang Arkitek itu:         

§        Mestilah seorang yang berdidikasi melaksanakan tugas profesionalnya sepertimana kepiawaian [standard] yang diharapkan darinya sebagai seorang Arkitek. 

§        Cekap perlakuannya. Dia perlu cekap melaksanakan tugas profesional yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya 

§        Perlu jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawabnya: 

o       Sebagai contoh ketika membuat perakuan kesiapan kerja di dalam ‘progress payment, 

o       Ketika menyediakan ‘Perakuan Kesiapan Kerja’ di bawah Akta Pemajuan Perumahan [Housing Development Act]; dan 

o       Bersungguh melaksanakan komitmennya [commitment]. 

KREDIBILITI ATAU KEMAMPUAN ARKITEK PROFESIONAL

Sebagai ketua kepada tim pembinaan [construction team], seorang Arkitek perlulah berkemampuan melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh cekap, berhati-hati dan berhemat [prudence] supaya tidak menyusahkan siapa sahaja pihak ketiga seperti menzalimi satu pihak untuk memberikan keuntungan pada satu pihak yang lain. Arkitek adalah seorang ‘man of wisdom’. Lazimnya Arkitek adalah penasihat, pentadbir dan pembuat keputusan yang bijaksana. Arkitek perlu tegas membuat apa sahaja keputusan dan tidak begitu mudah mengalah kepada sebarang bentuk cabaran. Semuanya hanyalah kerana, apa sahaja bentuk keputusan yang dibuatnya, perlulah berbentuk kebenaran yang berlandaskan undang-undang dan kesaksamaan profesionnya. 

Kredibiliti, keupayaan dan kemampuan ilmu pengetahuan seorang Arkitek mengikut yang telah digariskan oleh piawai antarabangsa sepertimana yang disenaraikan di bawah ini, perlu diperolehi/dikuasai/dimiliki samada dari pengalaman kerja secara praktik dan pengalaman yang didapati melalui latihan intensif ketika berkursus dimana sahaja pusat pengajian tinggi atau melalui pengalaman melaksanakan apa sahaja kerja berkaitan kesenibinaan di firma yang menjalankan praktis senibina: 

  •  
    • Mempunyai dayacipta yang tinggi dan kreatif dalam merekabentuk dan merancang sesuatu binaan bangunan yang menepati kehendak astetik dan teknikal dan mampu bertahan kepada pengaruh alam semulajadi dan pelbagai pengaruh lain yang ada kaitan dengan binaan bangunan; 
    • Mempunyai pengetahuan yang mencukupi dan mampu memahami asal usul sejarah dan teori senibina dan pelbagai seni dan teknologi berkaitan dengannya serta sains kemanusiaan; 
    • Mempunyai pengetahuan tentang ilmu senihalus kerana pengaruhnya yang kuat terhadap kualiti rekabentuk senibina.     
    • Mempunyai pengetahuan yang baik tentang rekabentuk dan perancangan urbanisma dan mempunyai keupayaan dalam mezahirkan pelbagai skema rekabentuk yang baik dalam proses perancangan; 
    • Memahami pertalian di antara manusia dan bangunan serta antara bangunan dan pengaruhnya kepada alam semulajadi dan memahami keperluan untuk merealisasikan alam bina yang bersuasana selesa untuk keperluan manusia dan berjaya membina ruang binaan yang berpadan dengan skala manusia;     
    • Mempunyai pengetahuan tentang kaedah terbaik untuk menyediakan rekabentuk bangunan dan perancangan ruang gunaan yang bersesuaian dan boleh bertahan lama oleh pengaruh alam semulajadi;     
    • Memahami dengan sebenarnya keunikan profesion Arkitek jika dibandingkan dengan profesion lain dan memahami peranan Arkitek kepada masyarakat terutama dalam mengambilkira kehendak serta faktor sosial dan kemanusiaan dalam penyediaan ‘ringkasan’ [brief] rekabentuk dan perancangan bangunan;     
    • Memahami dan melaksanakan kaedah-kaedah yang tepat dalam membuat penyelidikan dan persiapan dalam menyediakan ‘ringkasan’ [brief] skema rekabentuk sesuatu projek.     
    • Memahami asas dan konsep struktur binaan dan struktur kejuruteraan sesuatu skema rekabentuk dan mempunyai kepakaran dalam mengenalpasti potensi permasalahan yang akan timbul akibat pengaruh dari struktur yang gagal berfungsi sepatutnya;  Mempunyai pengetahuan tentang masalah fisikal, keberkesanan dan fungsi teknologi sesuatu rekabentuk bangunan terutama yang berkaitan dengan kemampuan rekabentuk tersebut dalam memenuhi kehendak yang diperlukan untuk keselesaan penghuninya terutama dalam fungsinya memberikan perlindungan dari iklim dimana ianya dibina; 
    • Keperluan memiliki kepakaran yang khusus untuk menentukan rekabentuk yang dizahirkan memenuhi kehendak pengguna atau penghuninya dalam batas kos yang termampu dan dalam batas yang ditentukan oleh kehendak undang-undang bangunan berkaitan; 
    • Mempunyai pengetahuan tentang industri, organisasi, peraturan atau undang-undang dan tatacara yang diperakukan dan diterimapakai dalam menterjemahkan konsep rekabentuk bangunan supaya menepati kehendak dan konsep perdana perancangan yang telah digazetkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan atau badan atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab ke atasnya; dan  
    • Mempunyai pengetahuan yang mencukupi serta bijak menguruskannya berkaitan strateji pembiayaan dan mengawal kos pembangunanya.