Arkib Kategori: Peranan Arkitek Dalam Masyarakat

SOAL JAWAB LAZIM PRAKTIS SENIBINA [4] – ARKITEK PROFESIONAL

Apakah yang membezakan seorang ’Arkitek Profesional’ dari seorang ’bukan profesional’? 

 Jawapan

Ciri-ciri berikut dimiliki oleh ’Arkitek Profesional’:  

  1. Selain secara umumnya tertakluk kepada undang-undang persekutuan [undang-undang negara] dalam menjalankan perkhidmatannya sebagai Arkitek Profesional, perkhidmatan dan tata laku seseorang Arkitek Profesional adalah dikawal oleh Akta Arkitek 1967 untuk memastikan Arkitek Profesional boleh dipertanggungjawabkan.
  2. Arkitek Profesional tidak boleh mengamalkan tata kelakuan berurusan secara melulu atau secara ’hentam keromo’ tanpa berpegang kepada kehendak-kehendak perundangan dan etika praktis yang telah ditetapkan.
  3. Arkitek Profesional tidak memperagakan hasil kerjanya dengan nilai kewangan tetapi kualiti kerja dan perkhidmatan yang berwibawa serta cemerlang.
  4. Arkitek Profesional dilarang dari memancing kerja atau memancing komisyen [soliciting] dengan cara yang bertentangan dengan garispanduan yang telah ditetapkan oleh Akta Arkitek 1967 atau mengambil alih [supplant] kerja Arkitek Profesional lain yang telah dilantik oleh mana-mana Kliennya.
  5. Pendekatan Arkitek Profesional adalah adil dan saksama tanpa ’pilih kasih’ dalam setiap urusan menyediakan perkhidmatannya dan tidak berpihak kepada mana-mana pihak.
  6. Perkhidmatan Arkitek Profesional mengutamakan kepentingan awam bukan kepentingan individu.
  7. Arkitek Profesional adalah terlatih secara khusus dan seorang yang pakar dan berwibawa untuk memberikan perkhidmatan profesionalnya kepada masyarakat.
  8. Arkitek Profesional mesti lulus peperiksaan profesional yang dikelola oleh badan pengawal khas profesion Arkitek di Malaysia [Lembaga Arkitek Malaysia - LAM] sebelum diikhtiraf layak memberikan perkhidmatan profesionalnya. 
  9. Komitment Arkitek Profesional kepada keutuhan profesion arkitek adalah dengan menyediakan khidmat profesional yang jujur dan efisyen.
  10. Lembaga Arkitek Malaysia [LAM] dan Persatuan Arkitek Malaysia [PAM] adalah badan-badan yang memainkan peranan penting memastikan kedaulatan mutu profesion Arkitek di Malaysia terpelihara secara khususnya dan penganjuran pelbagai aktiviti Pembangunan Profesional Berterusan [Continuing Professional Development - CPD] dan penglibatan mandatori Arkitek Profesional yang disyaratkan oleh LAM adalah satu langkah memastikan semua Arkitek sentiasa mengemaskini tingkat ilmu pengetahuan mereka berkaitan perkembangan semasa dan terkini profesion. [rujuk juga PERANAN ARKITEK]

ARKITEK DAN LIABILITI PROFESIONALNYA

wordpressfiles01.jpgApabila seseorang Arkitek Profesional itu dilantik oleh mana-mana majikan/klien untuk memberikan perkhidmatan profesionalnya, secara automatiknya dia mempunyai liabiliti dan tanggungjawab profesionalnya bukan sahaja kepada kliennya malah kepada semua pihak lain yang terlibat dalam projek berkaitan di mana dia adalah juruperunding Arkitek yang dilantik. Pihak-pihak tersebut adalah seperti juruperunding lain yang samada dilantik secara terus di bawah pengawasan Arkitek yang dilantik [directly appointed under the team of architect] atau yang dilantik khas oleh Klien sendiri, Pihak Berkuasa Tempatan [PBT] kerana Arkitek Profesional adalah ‘Orang Utama Yang Mengemukakan” pelan dan juga kepada pengguna-pengguna yang mempunyai hak kepada projek yang dilaksanakan.  

Arkitek profesional juga mempunyai liabiliti dari segi undang-undang seperti Undang-Undang Persekutuan [Federal Constitution] secara amnya dan akta-akta seperti Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Pindaan 2007] [Akta 133], Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 [Pindaan 2007] [Akta 133], Akta Arkitek 1967 [pindaan April 2007] [Akta 117], Akta Pemajuan Perumahan [Kawalan dan Pelesenan] 1966 [Pindaan 2007] [Akta 118]; dan Akta Hakmilik Strata 1985 [Pindaan 2007[ [Akta 318] dan lain-lain perundangan secara tidak langsungnya. Untuk memastikan Arkitek melindungi dirinya daripada mana-mana atau apa-apa liabiliti profesionalnya, langkah-langkah berikut adalah penting dan perlu/mesti diambil untuk memastikan dia tidak dengan semudahnya terjebak kepada permasalahan yang boleh menyebabkan integriti profesionalnya dipersoalkan atau digangugugat oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab:  

Memastikan perlantikannya dibuat secara rasmi [formal] dengan meminta Majikannya menandatangani Surat Perlantikan yang menyertakan Memorandum Perjanjian [Perjanjian antara Pelanggan dengan Arkitek bagi Perkhidmatan Profesional] menggunakan format LAM sebelum memulakan sebarang Kerja. 

Derafkan Surat Perlantikan untuk juruperunding-juruperunding lain yang dilantik oleh Majikan dengan memastikan perlantikan mereka sepenuhnya secara esklusif supaya tiada skop kerja yang tertinggal yang boleh membebankan Arkitek di kemudian hari jika Arkitek diwakilkan oleh Majikan untuk melantik mereka. 

Medokumentasikan kenyataan-kenyataan [statements] yang jelas tentang pengecualian pihak Arkitek dari bertanggungjawab terhadap perunding-perunding yang bukan dilantik di bawah pengawasannya terutama terhadap ‘performance’, kecuaian [negligency] dan perlakuan juruperunding-juruperunding tersebut yang bertentangan dengan perundangan yang perlu dipatuhinya sama ada secara khusus dan secara amnya. 

Sekiranya pembayaran fee untuk perunding lain adalah melalui Arkitek, pastikan bahawa mereka bersetuju bahawa Majikan adalah bertanggungjawab terhadap fee mereka. 

Terangkan kepada pihak-pihak lain atau mana-mana pihak ketiga bahawa apa-apa penganugerahan Kerja yang dibuat oleh Arkitek bagi pihak Majikan, pembayarannya adalah atas tanggungjawab Majikan. 

Dapatkan kebenaran Majikan apabila hendak memulakan mana-mana fasa skop kerja Arkitek dan pastikan mendapat arahan bertulis dari Majikan sebelum memulakan sebarang peringkat skop kerja tersebut. 

Membuat pengesahan kepada Majikan tentang fasa-fasa skop Kerja Arkitek yang telah disiapkan secara bertulis [jika rekabentuk sertakan set-set lukisan yang telah dipersetujui untuk disahkan oleh Majikan].  

Jangan berjanji untuk melakukan apa-apa skop kerja atau tanggungjawab yang di luar kemampuan Arkitek. Jangan memberi jaminan tentang Kos Pembinaan. Jangan berjanji untuk mendapatkan kelulusan pantas daripada pihak berkuasa. 

Apabila terdapat elemen-elemen yang meragukan di dalam Kontrak dapatkan nasihat pakar profesional. 

Cuba jayakan parameter asas kehendak-kehendak Majikan sebelum memulakan kerja-kerja rekabentuk – contoh Kos, Kuantiti, Kualiti dan Masa – sekiranya tedapat perubahan pada parameter asas ini maklumkan kepada Majikan secara bertulis dan dapatkan pengesahan mereka.

                                                        KOS

 

                        KUANTITI                                  KUALITI

 

                                                       MASA   

         PARAMETER KEHENDAK MAJIKAN YANG SALING BERKAITAN

Sahkan kesemua aspek fizikal sebelum membuat perakuan bertulis seperti perakuan pembayaran, pensijilan, Laporan Tapak dan sebagainya. 

Arkitek mesti memeriksa kesemua lukisan dan dokuman-dokumen sebelum menyerahkan kepada pihak-pihak tertentu untuk mengelakkan potensi berlakunya tuntutan terhadap percanggahan atau pemesongan. 

Arkitek jangan sekali-kali mengambil tanggungjawab pihak-pihak lain untuk menyiapkan skop kerja mereka. 

STATUS PROFESION ARKITEK, PENGARUH, PERSAINGAN DAN CABARANNYA MASAKINI

Status profesion Arkitek pada asasnya amat bergantung atau terikat dengan perkembangan dan status industri pembinaan bangunan dan industri infrastruktur pembangunan alam bina amnya. 

Perkembangan ekonomi mempengaruhi status profesion Arkitek dalam keadaan seumpama berikut:   

§        Taraf atau pencapaian ekonomi yang lembab [recession] seperti apa yang berlaku dalam tahun 1985 hingga 1989 sebagai contohnya, telah menyebabkan ramai Arkitek Profrsional tidak mampu mengendalikan perniagaan praktis senibina mereka kerana tiada komisyen kerja yang diperolehi – ramai Arkitek Profesional berdepan dengan masalah sehingga ke tahap yang boleh menyebabkan mereka diikhtirafkan sebagai muflis. Pemberhentian kakitangan yang digajikan seperti Siswazah Arkitek dan kakitangan teknikal seperti Pelukis Pelan tidak dapat dielakkan. Sehingga, ada sesetengah Arkitek Profesional terpaksa beralih arah dengan mendapatkan peluang pekerjaan di luar negara. 

§        Dalam keadaan status ekonomi memuncak pula menyebabkan Arkitek mendapat komisyen kerja yang banyak dan lumayan. Ada kes-kes tertentu walaupun agak asing, Arkitek Profesional tanpa disedari menjadi terlalu sibuk sehingga cuai memastikan perkhidmatan yang baik diberikan kepada Pelanggan atau Majikannya. Perlu diingat, Arkitek-Arkitek [Arkitek Profesional dan Siswazah Arkitek] adalah tertakluk kepada pelbagai peruntukan Akta Arkitek 1967, yang menggubal kaedah dan peraturan khusus untuk mengawal perlakuan profesional mereka. Atas sebab perkhidmatan yang buruk yang diberikan kepada Majikannya, Arkitek terdedah dengan potensi melanggar ketetapan Kod Tata Kelakuan Profesional yang membolehkan mereka didakwa dan diambiltindakan sewajarnya oleh LAM.  

Pencapaian status ekonomi yang cemerlang boleh juga membuka peluang kepada Arkitek Asing untuk memasuki pasaran tempatan. Arkitek Tempatan akan tercabar jika tidak berupaya bersaing dengan mutu perkhidmatan yang diberikan oleh Arkitek Asing. Masalah dengan Arkitek Asing ialah mereka tidak terikat dengan peruntukan peraturan yang ada di Malaysia. Mereka seringkali menggunakan khidmat Arkitek Tempatan, yang telah dimestikan mematuhi kehendak-kehendak Kod Tata Kelakuan Profesional Arkitek di Malaysia, yang mana jika tersilap perkiraan dalam melaksanakan khidmat mereka kepada Arkitek Asing tersebut, mereka [Arkitek Profesional tempatan] akan terjebak memungkiri peruntukan Akta Arkitek 1967 berkenaan. 

Cabaran lain seperti penglibatan ahli profesional lain dalam skop kerja tradisi Arkitek. Contohnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini ahli profesional seperti Juruukur Bahan, Jurutera dan Pengurus Projek sudah mula mengambil alih skop kerja Arkitek sebagai pengurus projek. Kadang kala dalam konteks atau permasalahan seumpama ini, pendapat sesetengah pihak yang mengatakan Arkitek sendiri boleh dipersalahkan kerana sudah tidak lagi pakar memberikan khidmat profesionalnya, sebagai boleh diterima dan ditelan dengan pahitnya. Puncanya, Arkitek tidak sepatutnya melepaskan tanggungjawabnya sebagai orang yang bertanggungjawab memastikan setiap aspek pentadbiran dan pengurusan perlaksanaan satu-satu projek dilakukan oleh ahli profesional lain seperti menyerahkan sepenuhnya kepada Juruukur Bahan untuk menyediakan Spesifikasi, Dokumen Tawaran dan Dokumen Kontrak, sedangkan dia adalah orang yang berhak menentukan spesifikasi yang terbaik untuk penyataan bagaimana bangunan rekabentuknya perlu diperihalkan dan bagaimana satu-satu perjalanan kontrak binaan rekabentuknya perlu ditadbir. 

Kehadiran Juruperunding Pengurusan Projek [Project Manager] mutakhir ini, yang pendaftaran mereka direstui Kementerian Kewangan, juga secara langsung telah berjaya mengambil alih [supplanting] tugas Arkitek sebagai ketua kepada tim binaan [construction team] bilamana Arkitek hanya dilantik sebagai perunding kepada syarikat pengurus projek berkenaan yang majoriti pemegang saham atau pemilik syernya adalah dari kalangan ahli-ahli profesional lain dan yang paling anihnya ialah apabila individu bukan ahli profesional yang terlalu asing kepentingannya dalam industri pembinaan, seperti Akauntan dan Ahli Ekonomi juga dibolehkan menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah Juruperunding Pengurusan Projek. 

Terakhir sekali adalah cabaran dari kalangan profesion Arkitek itu sendiri bilamana adanya individu Arkitek yang bersikap tidak ambil peduli kepada peruntukan undang-undang berkaitan dengan profesion Arkitek dan tidak menghormati prinsip dan konsep sebenar keprofesionalan profesion Arkitek. Sebagai contoh, keujudan Arkitek Profesional [walaupun hanya segelintir kecil sahaja] yang mencari jalan mudah mendapatkan komisyen kepada penyediaan perkhidmatan dan tanggungjawab profesionalnya hanya dengan menjual tandatangannya kepada pihak ketiga, yang menyediakan skim rekabentuk dan lukisan binaan tanpa pengawasannya sebagai Arkitek yang sepatutnya dipertanggungjawabkan. Perlu dingat bahawa perlakuan ini melanggar ketetapan Akta Arkitek 1967 sepertimana ditegaskan di bawah Kod 3, Kod Tata Kelakuan Profesional Bagi Arkitek, iaitu Kod 3[8] yang berbunyi:  

Kod 3

Melaksanakan Tugas dan Kewajipan Dengan Taat Setia.Faithful Discharge of Duties and Obligations                

Kod 3(8):

A Professional Architect shall not certify, affix or put his signature to drawings, plans or specifications which are not prepared by him, his employees or persons under his supervision for the purpose of obtaining the approval from the relevant Authority. 

Yang Bermaksud: 

Seseorang Arkitek tidak boleh memperakukan, menandatangani atau menurunkan tandatangan kepada lukisan pelan atau spesifikasi yang bukan disediakan olehnya atau oleh kakitangan di bawah pengawasannya untuk tujuan mendapatkan kelulusan dari sebarang pihak berkuasa berkanun”.      

PERANAN ARKITEK

Secara tradisionalnya peranan Arkitek adalah sepertimana peranan yang dipertanggungjawabkan kepada semua profesional yang lain. 

Peranan seorang Arkitek Profesional adalah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Pelanggan/Kliennya untuk merealisasikan bangunan idaman mereka. Arkitek bertanggungjawab menyediakan rekabentuk bangunan yang memenuhi kehendak pemiliknya, penghuninya atau majikannya [Klien].  

Seorang Arkitek Profesional beperanan memelihara kesetabilan susunan struktur masyarakat agar terpelihara dari sebarang unsur ketidakadilan dan penganiyaan. Sebagai contoh apabila seorang Arkitek dilantik untuk memberikan perkhidmatannya untuk satu projek pembangunan perumahan, dia perlulah bertingkahlaku dan bertindak secara profesional dengan tidak memihak kepada mereka yang melakukan kesalahan atau kemungkiran terhadap orang ketiga seperti pembeli rumah atau masyarakat am lain yang berurusan dan terlibat dalam projek tersebut.   

Arkitek bertanggungjawab memastikan peranan yang dimainkannya adalah mengikut perkembangan kehendak dan permintaan masyarakat yang sentiasa selari dengan perubahan masa serta perlu bertindak dengan sewajarnya terhadap kehendak dan permintaan masyarakat tersebut secara profesional.  

Untuk memahami dengan lebih mudah tentang peranan seorang Arkitek Profesional, huraian boleh dibuat mengikut pecahan beberapa aspek berikut: 

i.                    Aspek Tanggungjawab,  

ii.                  Aspek Imej; dan 

iii.                Aspek Kredibiliti dan Kemampuan, 

yang perlu dimiliki dan dipertanggungjawabkan oleh masyarakat kepadanya.      

TANGGUNGJAWAB ARKITEK

Sebagai seorang profesional secara tradisionalnya, Arkitek hendaklah:     

1.     Melaksanakan dan membuat penilaian dengan cekap setelah melakukan analisa yang rapi sebelum satu keputusan yang bijak dan muktamad dibuat, 

2.     Berpengetahuan dalam bidang pengurusan serta berkemampuan mengendalikan praktis senibina yang bersistematik dan berdayamaju dan baik dalam ‘public relation’ [PR], 

3.     Berkemampuan dalam semua hal yang bersangkutan dengan aspek alam semulajadi, kemasyarakatan dan undang-undang yang relevan, 

4.     Sentiasa melengkapi diri dengan kepakaran teknikal dan pelbagai kepakaran lain yang relevan, untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam bidang kesenibinaan khususnya dalam bidang rekabentuk dan teknik binaan. Kepakaran yang dimaksudkan boleh dijelaskan sepertimana berikut: 

Berwibawa menasihatkan Klien/Pemilik Bangunan tentang kesesuaian sesuatu cadangan rekabentuk agar ianya menepati fungsi, teknik pembinaan dan kos diperlukan, 

Bijak menentukan secara am susunan rekabentuk dan pembina

Terlatih untuk menyediakan Lukisan Kerja supaya bangunan mudah diterjemahkan oleh kontraktor bangunan di tapak yang dicadangkan; dan 

Bersedia memberikan khidmat nasihat kepada Klien/Pemilik Bangunan tentang keperluan perancangan mengikut keperluan perundangan seperti Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, ‘Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984’ [Uniform Building By Laws 1984 – UBBL] dan pelbagai keperluan lain yang relevan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan atau Agensi Teknikal Tempatan di kawasan dimana bangunan tersebut dicadang untuk dibina.  

5. Untuk hal-hal berkaitan pengurusan kontrak binaan, Arkitek sebagai juruperunding kepada Pelanggan/Klien sebagai Majikan [Borang Kontrak Seragam PAM atau apa sahaja borang kontrak seragam yang lazim digunakan, yang walaupun hanya mengikat di antara Kontraktor dan Majikan], Arkitek adalah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir perjalanan pengurusan kontrak tersebut yang mana seorang Arkitek:  

(a)  Perlu melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh teliti, tekun dan bijaksana serta secara profesional sepertimana yang telah digariskan oleh terma pertugasan [Syarat-Syarat Pertugasan Arkitek] dan syarat ikatan perjanjian perlantikannya [MoA] yang telah dimeterikan, 

(b) Adalah seorang penimbangtara [arbiter or quasi-arbitrator] yang adil. Ia mestilah membuat satu keputusan yang tidak berat sebelah apabila mentadbir pelbagai hal yang berkaitan dengan ikatan kontrak di antara Pelanggan/Klien dan Kontraktor serta siapa sahaja pihak ketiga yang ada terlibat di dalam kontrak tersebut dimana beliau juga adalah Pegawai Penguasa [SO]. 

(c)  Pakar mengendalikan kerja-kerja di tapak secara profesional mengikut kehendak terma kontrak di antara Pelanggan/Klien dan kontraktor yang telah dimeterikan kerana selain sebagai Pegawai Penguasa [SO], Arkitek juga adalah seorang pengurus projek. Apabila dilantik sebagai pengurus projek beberapa perkara di bawah adalah dipertanggungjawabkan dan mesti diambil perhatian sepenuhnya: 

Sistem pengurusan yang efisyen dan penjadualan masa yang betul; 

Kefahaman yang tepat dan sensitif dengan persekitaran untuk menghasilkan idea rekabentuk yang baik; 

Memerlukan pengetahuan yang mendalam mengenai undang-undang dan piawaian yang berkaitan dengan bangunan atau pembangunan amnya;    

Menyediakan butiran piawaian (standard) bagi memudahkan perlaksanaan projek; dan 

 Rujukan lengkap perlu dibuat samada dengan mendapatkan sumbernya dari orang perseorangan, bahan bacaan, jabatan atau agensi yang berkaitan.  

6. Profesion Arkitek adalah juga dipertanggungjawabkan dengan pelbagai tanggungjawab dari segi perundangan sepertimana di bawah: 

§        Akta Arkitek 1967 [Architect Acts 1967] yang menetapkan Kod Tata Kelakuan Profesionalnya [Professional Code of Ethics] dan Skel Fee Minimum [Minimum Scale of Fees] – Memorandum Perjanjian [Memorandum of Agreement] di antara Pelanggan/Klien/Majikan dengan Arkitek yang disyaratkan oleh LAM dalam perjanjian perlantikan perkhidmatan Arkitek jelas menyenaraikan tanggungjawab Arkitek kepada Majikan/Pelanggan/Kliennya tersebut. 

§        Sebagai orang yang memohon kelulusan pelan bangunan di bawah kawalan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 [Principal Submitting Person under UBBL 1984], dan mutakhir ini pula Arkitek Profesional dipertanggungjawabkan mengeluarkan CCC.

§        Sebagai orang yang membuat perakuan kepada Perakuan Kesiapan Kerja di bawah Akta Pemajuan Perumahan [Housing development Act] – kandungan Perjanjian Jual dan Beli [Sales and Purchase Agreement – S&P] di antara Pembeli dan Pemaju di dalam Klausa tertentu yang memperihalkan dan menggariskan tanggungjawab Arkitek sebagai orang yang bertanggungjawab memastikan Pembeli memperolehi haknya.    

§        Seorang Arkitek bukan sahaja bertanggungjawab mematuhi undang-undang khusus untuk bangunan tetapi undang-undang am lain juga. 

IMEJ SEORANG ARKITEK

Imej seseorang Arkitek adalah bergantung kepada perlakuan [performance] dan keprofesionalanya [professionalism] yang ditentukan oleh: 

§        Kecekapannya [competency], 

§        Kejujurannya [integrity]; dan 

§        Tanggungjawabnya [responsibility]. 

Sebarang kesilapan dan kegagalan seseorang Arkitek melaksanakan peranannya dan tanggungjawabnya dengan bijaksana dan cekap, secara jujur dan penuh dedikasi, ia akan merosakkan imejnya sebagai seorang Arkitek yang profesional. 

Untuk menjaga imej yang dikehendaki oleh masyarakat, seseorang Arkitek itu:         

§        Mestilah seorang yang berdidikasi melaksanakan tugas profesionalnya sepertimana kepiawaian [standard] yang diharapkan darinya sebagai seorang Arkitek. 

§        Cekap perlakuannya. Dia perlu cekap melaksanakan tugas profesional yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya 

§        Perlu jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawabnya: 

o       Sebagai contoh ketika membuat perakuan kesiapan kerja di dalam ‘progress payment, 

o       Ketika menyediakan ‘Perakuan Kesiapan Kerja’ di bawah Akta Pemajuan Perumahan [Housing Development Act]; dan 

o       Bersungguh melaksanakan komitmennya [commitment]. 

KREDIBILITI ATAU KEMAMPUAN ARKITEK PROFESIONAL

Sebagai ketua kepada tim pembinaan [construction team], seorang Arkitek perlulah berkemampuan melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh cekap, berhati-hati dan berhemat [prudence] supaya tidak menyusahkan siapa sahaja pihak ketiga seperti menzalimi satu pihak untuk memberikan keuntungan pada satu pihak yang lain. Arkitek adalah seorang ‘man of wisdom’. Lazimnya Arkitek adalah penasihat, pentadbir dan pembuat keputusan yang bijaksana. Arkitek perlu tegas membuat apa sahaja keputusan dan tidak begitu mudah mengalah kepada sebarang bentuk cabaran. Semuanya hanyalah kerana, apa sahaja bentuk keputusan yang dibuatnya, perlulah berbentuk kebenaran yang berlandaskan undang-undang dan kesaksamaan profesionnya. 

Kredibiliti, keupayaan dan kemampuan ilmu pengetahuan seorang Arkitek mengikut yang telah digariskan oleh piawai antarabangsa sepertimana yang disenaraikan di bawah ini, perlu diperolehi/dikuasai/dimiliki samada dari pengalaman kerja secara praktik dan pengalaman yang didapati melalui latihan intensif ketika berkursus dimana sahaja pusat pengajian tinggi atau melalui pengalaman melaksanakan apa sahaja kerja berkaitan kesenibinaan di firma yang menjalankan praktis senibina: 

  •  
    • Mempunyai dayacipta yang tinggi dan kreatif dalam merekabentuk dan merancang sesuatu binaan bangunan yang menepati kehendak astetik dan teknikal dan mampu bertahan kepada pengaruh alam semulajadi dan pelbagai pengaruh lain yang ada kaitan dengan binaan bangunan; 
    • Mempunyai pengetahuan yang mencukupi dan mampu memahami asal usul sejarah dan teori senibina dan pelbagai seni dan teknologi berkaitan dengannya serta sains kemanusiaan; 
    • Mempunyai pengetahuan tentang ilmu senihalus kerana pengaruhnya yang kuat terhadap kualiti rekabentuk senibina.     
    • Mempunyai pengetahuan yang baik tentang rekabentuk dan perancangan urbanisma dan mempunyai keupayaan dalam mezahirkan pelbagai skema rekabentuk yang baik dalam proses perancangan; 
    • Memahami pertalian di antara manusia dan bangunan serta antara bangunan dan pengaruhnya kepada alam semulajadi dan memahami keperluan untuk merealisasikan alam bina yang bersuasana selesa untuk keperluan manusia dan berjaya membina ruang binaan yang berpadan dengan skala manusia;     
    • Mempunyai pengetahuan tentang kaedah terbaik untuk menyediakan rekabentuk bangunan dan perancangan ruang gunaan yang bersesuaian dan boleh bertahan lama oleh pengaruh alam semulajadi;     
    • Memahami dengan sebenarnya keunikan profesion Arkitek jika dibandingkan dengan profesion lain dan memahami peranan Arkitek kepada masyarakat terutama dalam mengambilkira kehendak serta faktor sosial dan kemanusiaan dalam penyediaan ‘ringkasan’ [brief] rekabentuk dan perancangan bangunan;     
    • Memahami dan melaksanakan kaedah-kaedah yang tepat dalam membuat penyelidikan dan persiapan dalam menyediakan ‘ringkasan’ [brief] skema rekabentuk sesuatu projek.     
    • Memahami asas dan konsep struktur binaan dan struktur kejuruteraan sesuatu skema rekabentuk dan mempunyai kepakaran dalam mengenalpasti potensi permasalahan yang akan timbul akibat pengaruh dari struktur yang gagal berfungsi sepatutnya;  Mempunyai pengetahuan tentang masalah fisikal, keberkesanan dan fungsi teknologi sesuatu rekabentuk bangunan terutama yang berkaitan dengan kemampuan rekabentuk tersebut dalam memenuhi kehendak yang diperlukan untuk keselesaan penghuninya terutama dalam fungsinya memberikan perlindungan dari iklim dimana ianya dibina; 
    • Keperluan memiliki kepakaran yang khusus untuk menentukan rekabentuk yang dizahirkan memenuhi kehendak pengguna atau penghuninya dalam batas kos yang termampu dan dalam batas yang ditentukan oleh kehendak undang-undang bangunan berkaitan; 
    • Mempunyai pengetahuan tentang industri, organisasi, peraturan atau undang-undang dan tatacara yang diperakukan dan diterimapakai dalam menterjemahkan konsep rekabentuk bangunan supaya menepati kehendak dan konsep perdana perancangan yang telah digazetkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan atau badan atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab ke atasnya; dan  
    • Mempunyai pengetahuan yang mencukupi serta bijak menguruskannya berkaitan strateji pembiayaan dan mengawal kos pembangunanya.            

PROFESION, PROFESIONAL DAN PROFESIONALISMA

Profesion lebih mudah difahami sebagai pekerjaan. Profesional pula merujuk kepada individu yang melakukan pekerjaan tersebut sebagai suatu pekerjaan tetap dan sumber pendapatan utamanya. Profesionalima adalah tahap kecekapan dan akauntabiliti yang seharusnya didukung oleh individu profesional tersebut.

Dalam konteks diatas, jawatan ARKITEK adalah satu profesion. Seseorang yang berjawatan sebagai ARKITEK adalah seorang profesional. Contoh yang sama adalah seperti seorang guru, doktor, jurutera, dan seumpamanya. Masih ramai yang membataskan pengertian profesional hanya kepada beberapa profesion tertentu sahaja seperti arkitek, jurutera, doktor, peguam, akauntan dan seumpamanya yang menetapkan kriteria tertentu seperti ilmu pengetahuan, latihan, pengtauliahan badan profesional dan berautonomi. Tanpa menidakkan kriteria dan kepentingannya, kita harus menilai bahawa setiap pekerjaan atau profesion sesungguhnya membawa bersama tanggungjawab, integriti, akauntabiliti, pada tahap tertinggi tanpa mengira jawatan atau profesion individu itu. Semua kita adalah tertakluk kepada memberi perkhidmatan terbaik dan profesional pada setiap masa. Matlamat utama pekerjaan dan profesion diwujudkan hendaklah memberi faedah kepada masyarakat dan kemakmuran negara sejagat.

Bagi memenuhi tuntutan tersebut maka terciptalah berbagai jenis pekerjaan dan sehubungan itu pula diadakanlah syarat-syarat layak bagi setiap jenis profesion tersebut. Apabila seseorang itu telah membuat pilihan profesionnya, dan apa-apa tanggungjawab dan perlakuan yang diamalnya apabila memegang jawatan profesion yang berkenaan itu pula tidak merosakkan imej profesion itu, ia wajib bertekad untuk menunaikan pekerjaannya secara profesionalsma iaitu mencapai tahap yang ditetapkan oleh kehendak profesionnya. Dalam lain perkataan ia hendaklah bekerja dengan tekun, cekap, amanah, bersungguh-sungguh, adil, ikhlas dan beretika.

Etika profesional adalah nilai-nilai atau tingkahlaku murni yang harus dihayati oleh individu mengikut profesion masing-masing. Ia menjelaskan tindakan-tindakan betul yang perlu diikuti dan tindakan-tindakan salah yang perlu dihindari. Tujuan etika diadakan adalah untuk mengekalkan integriti moral individu profesional itu.

Prinsip Asas Profesion Arkitek Sebagai Seorang Profesional

4 prinsip asas profesion Arkitek adalah: 

  1. Mempunyai kepakaran khas dan ilmu pengetahuan dalam bidang kesenibinaan [arkitektur] yang tidak dimiliki oleh bukan profesional – biasanya dimiliki setelah menjalankan kursus intensif dalam tempoh yang tertentu serta telah memiliki pengalaman praktikal dalam perkerjaan dan telah memenuhi lain-lain kehendak dan keperluan yang telah disyaratkan oleh Lembaga Arkitek Malaysia [LAM]. 
  2. Seorang profesional adalah seorang yang cekap dan berwibawa [competence], boleh dipercayai [reliable] serta bertanggungjawab dan jujur memberikan perkhidmatannya [honest in his dealings]. 
  3. Profesion Arkitek mempunyai perundangan sendiri terdiri dari akta yang digubal oleh Parlimen dan peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah  yang digubal oleh LAM. LAM mempunyai hak mengambil tindakan displin terhadap ahli-ahlinya jika tingkahlaku mereka bertentangan dengan Akta atau jika mereka melakukan sebarang penyelewengan di dalam melaksanakan kerja-kerja profesional mereka; dan 
  4. Seorang Arkitek Profesional adalah bertanggungjawab ke atas apa sahaja tindaktanduk, tingkahlaku dan perlakuan mereka sendiri.    

ARKITEK SEBAGAI SEORANG PROFESIONAL

Takrif Arkitek

Ilmu pengetahuan dan kepakaran yang bagaimanakah yang perlu dimiliki oleh seorang Arkitek yang boleh melayakkannya bergelar Arkitek? 

Perkataan Arkitek berasal dari perkataan Greek – ‘Arkhitekton’, yang bermaksud ‘ketua tukang bina’ [Head builder]. Definisi tradisional pula mentakrifkan Arkitek sebagai seorang yang merekabentuk, mentadbir dan menguruskan pembinaan sesuatu bangunan. Maka tugas utama Arkitek bolehlah disenaraikan seperti berikut: 

  1. Menyediakan Lakaran dan Lukisan Rekabentuk,
  2. Menyediakan Lukisan Binaan, 
  3. Menyediakan spesifikasi yang memperihalkan apa yang ditunjukkan dan dinyatakan di dalam Lukisan Rekabentuk dan Lukisan Binaan, 
  4. Membuat pemeriksaan Tapak Binaan sebelum kerja-kerja binaan dimulakan, 
  5. Menyediakan Dokumen Tawaran sebelum pemilihan kontraktor dibuat dan menyediakan Dokumen Kontrak apabila kontraktor telah dipilih, 
  6.  Memastikan proses dan sesi rundingan untuk memilih kontraktor yang bakal membina bangunan yang telah direkabentuknya, dijalankan sebaik mungkin mengikut kehendak perundangan yang berkaitan; dan 
  7. Tugas lain termasuklah menyediakan rekabentuk dan perancangan infrastruktur sesuatu skim pembangunan dan apa sahaja hal yang berkaitan dengan sosio ekonomi yang boleh mempengaruhi proses perancangan alam bina.  

Namun gelaran ‘Arkitek’ secara lazim mengikut peruntukan undang-undang khusus berkaitan dengannya pula, hanyalah layak kepada individu yang telah mendapat pendidikan khusus dalam bidang senibina [untuk satu tempoh yang tidak kurang dari lima tahun di peringkat ijazah dan sarjana (post-graduate) dan telah diluluskan pendaftarannya untuk menjalankan praktis senibina mengikut peruntukan mana-mana undang-undang berkaitan profesion Arkitek di kawasan, wilayah, negeri atau negara dimana Arkitek tersebut memberikan perkhidmatannya. Dari segi kepakaran, Lembaga Pendaftar Arkitek United Kingdom [Architects’ Registration Council of United Kingdom – ARCUK] pula menetapkan 3 keperluan asas yang perlu ada pada seseorang Arkitek: 

i]      Mencipta [to create], 

ii]      Merekabentuk dan merancang [to design and to plan]; serta 

iii]     Mengurus dan menyelia [to manage and supervise]. 

Untuk diikhtiraf sebagai seorang Arkitek, seseorang itu disyaratkan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang mencukupi, terlatih dan mempunyai pengalaman dalam bidang senibina dalam 3 aspek keperluan tersebut di atas. 

Kewibawaan seseorang Arkitek adalah juga bergantung kepada kemampuannya melaksanakan 3 aspek keperluan asas yang disenaraikan di atas.                 

siapakah seorang profesional?

Pentafsiran tentang siapakah yang layak dipanggil seorang profesional boleh dibuat dari pelbagai sudut.

Kamus Oxford oleh Joyce M.Hawkins memberikan maksud ‘professional’ sebagaimana berikut: 

  1. Berkenaan sesuatu profesion atau pekerjaan ikhtisas yang memerlukan didikan dan latihan yang khusus dalam bidangnya,
  2. Orang yang bergiat dalam bidang ikhtisas, 
  3. Membayangkan tentang kemahiran seseorang [keprofesionalan], 
  4. Seseorang yang mempunyai pekerjaan tertentu untuk mendapatkan wang; dan
  5. Seseorang yang kepadanya dibuat rujukan untuk mendapatkan nasihat kerana kepakarannya tentang sesuatu bidang.  

arkitek dan perkembangan semasa

Peranan Arkitek di dalam masyarakat secara tradisionalnya adalah lebih tertumpu sebagai seorang ahli profesional. Masakini mungkin terdapat perubahan atau pertambahan kepada peranan tersebut akibat perubahan kehendak dan keperluan masyarakat tetapi yang pastinya Arkitek perlulah sentiasa peka dengan kehendak sosial dan teknologi mengikut perkembangan masanya. 

Mutakhir pula, Arkitek sudah tidak lagi sepenuhnya memonopoli tampuk tertinggi segitiga kelompok industri pembinaan sebagai pemimpin utama merealisasikan sesuatu perlaksanaan projek. Juruperunding-juruperunding profesional lain atas nama Perunding Pengurusan Projek kerap dilantik oleh Pelanggan/Klien yang secara dasarnya atau jika tidak keterlaluan dianggap sepenuhnya, telah mengambilalih peranan dan tugas-tugas Arkitek.  

Pelbagai perubahan dan cabaran yang disebutkan di atas sepatutnya tidak melemahkan prestasi Arkitek dalam usaha memberikan khidmat profesionalnya yang terbaik. Arkitek perlu sentiasa bersedia memertabatkan status imejnya dengan menjaga pelbagai elemen keprofesionalannya yang diperlukan dan ditetapkan oleh profesionnya.    

satu pandangan masyarakat – sebagai ‘pengenalan’ mengenali seorang profesional

Kaji semula CCC ganti CF
Kosmo 18/6/2005

KUALA LUMPUR – Harapkan pagar, pagar makan padi. Demikian perumpamaan daripada Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) mengenai kewibawaan segelintir arkitek perumahan. Keadaan ini wujud disebabkan cadangan kerajaan menukarkan Sijil Layak Menduduki (CF) kepada Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dianggap oleh HBA sebagai tidak berwibawa. Setiausaha Agungnya, Chang Kim Loong berkata, keraguan kepada kewibawaan arkitek berlaku disebabkan kebanyakan statistik aduan permasalahan yang diterima disebabkan sijil pramatang yang dikeluarkan oleh arkitek sering disalahgunakan pemaju. “Kami ada bukti. Fakta menunjukkan pemaju sanggup mengarahkan arkitek yang dilantiknya untuk mengeluarkan sijil pramatang projek perumahan untuk menuntut bayaran akhir daripada pembeli. “Bagaimanapun apabila rumah diserahkan kepada pembeli, keadaan rumah yang diterima sangat mengecewakan dengan keadaan struktur belum siap dan tidak lengkap,” katanya kepada KOSMO!. Beliau mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting bahawa CF akan digantikan kepada CCC dengan dikeluarkan oleh arkitek dan jurutera saja, bukan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum ini. Menurut Kim Loong, HBA setiap tahun menerima ratusan aduan berkaitan sijil pra-matang sama ada ia palsu atau tidak jelas penilaian arkitek yang meluluskannya untuk mengelirukan pembeli. Sehubungan itu, katanya, HBA mencadangkan kepada kerajaan agar mengkaji semula cadangan mewujudkan CCC. “Berdasarkan kes terbaru HBA, terdapat enam aduan yang dikemukakan oleh pihak persatuan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke atas sijil pra-matang yang diluluskan oleh arkitek pemaju perumahan.
“Akhirnya enam aduan tersebut disiasat dan diambil tindakan oleh Lembaga Arkitek Malaysia,” katanya.

satu contoh petikan laporan media massa mempertikaikan kewibawaan arkitek di malaysia. ianya mungkin boleh dijadikan satu pengajaran yang berguna kepada semua arkitek di malaysia. bukan mudah menjadi seorang profesional yang telah bersetuju memberikan tanggungjawab khidmatnya setiap kali apabila dilantik oleh mana-mana majikan. yang jelas tanggungjawab seorang arkitek sebagai seorang profesional bukan hanya kepada majikanya tetapi juga kepada masyarakat pengguna dan negara secara amnya.